Monday, August 29, 2011

Gaddafi Lari Ke Algeria, Anak-Isteri Ke Tunisia.


Seorang pemberontak Libya bergambar sambil tangannya menunjukkan isyarat 'V' (kemenangan) di kerusi berbentuk ikan duyung diperbuat daripada emas milik anak perempuan Muammar Gaddafi, Aisha di rumahnya di Tripoli, kelmarin. - AFP

TRIPOLI: Satu konvoi enam buah kereta Mercedes yang mungkin membawa pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilihat menyeberangi Libya ke Algeria semalam, lapor agensi berita Mesir MENA yang memetik sumber pemberontak.

Laporan itu bagaimanapun masih belum disahkan Algeria atau Libya. Menurut agensi berita MENA yang memetik sumber pemberontak, enam kereta Mercedes diiringi kereta perisai dan anggota tentera dilihat memasuki bandar Ghadames di Algeria semalam.

Sumber memberitahu, pemberontak tidak dapat mengejar konvoi tersebut kerana kekurangan senjata dan kelengkapan tempur. "Kami rasa konvoi itu mungkin membawa pegawai tertinggi Libya iaitu Gaddafi serta anak-anaknya," lapor sumber terbabit.

Gaddafi terpaksa berundur dari kubu kuatnya, Bab al-Aziziya di Tripoli selepas ia ditawan pemberontak awal minggu ini. Sehingga kini, lokasi sebenar pemimpin Libya itu bersama anak- anaknya masih menjadi tanda tanya dengan kumpulan pemberontak dilapor meneruskan pemburuannya dibantu kelengkapan serta perkhidmatan risikan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dalam perkembangan berkaitan, pemberontak Libya semalam menawan Ras Jdir di sempadan Tunisia selepas ia dipercayai merupakan satu daripada jalan alternatif kepada Gaddafi untuk melarikan diri, namun kini ia telah disekat. Sementara itu, Kesatuan Afrika (AU) semalam menggesa pembentukan sebuah kerajaan menyeluruh di Libya dengan mengatakan ia tidak boleh mengiktiraf kumpulan pemberontak sebagai wakil sah negara tersebut ketika pertempuran terus berlaku.

Penolakan tersebut menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Gaddafi kepada kesatuan tersebut memandangkan beliau merupakan antara pembiaya utama dan pernah memberi sejumlah besar wang kepada beberapa pemimpin Afrika. - AFP/Reuters

Sementara itu di Tunisia, isteri dan anak perempuan pemimpin Libya Muammar Qaddafi dilaporkan telah menyeberang perbatasan menuju Tunisia beberapa hari yang lalu, kata satu sumber keamanan Tunisia kepada Reuters. Isteri Qaddafi, Safia dan puterinya, Aisyah datang ke Tunisia dengan delegasi Libya, kata sumber itu. Walaupun begitu, sumber tersebut menolak untuk menguraikan lanjut dan laporan tersebut tidak dapat dikukuhkan secara independen. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails