Sunday, August 28, 2011

Calon PM S'pura Menang Tipis Jawatan Presiden

Tony Tan (tengah) senyum selepas diumumkan sebagai presiden baru Singapura dalam saingan empat penjuru semalam. Beliau menang tipis. — Foto Reuters

SINGAPURA, 28 Ogos 11: Bekas timbalan perdana menteri Tony Tan dipilih sebagai presiden Singapura selepas proses kiraan semula undi ─ dengan majoriti tipis ─ dilihat satu tamparan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang memberikan sokongan kepadanya.

Buat kali pertama dalam sejarah republik itu empat calon bersaing jawatan presiden yang hanya memainkan peranan istiadat. Laporan Reuters menyebut, Dr Tony Tan, yang merupakan bekas pengarah khazanah negara GIC, memperoleh 35.19 undi manakala Dr Tan Cheng Bock, seorang doktor perubatan, memperoleh 34.85 undi, demikian diumumkan oleh Jabatan Pilihan Raya Singapura awal pagi ini.

Dalam pada itu, penasihat pelaburan Tan Jee Say menerima 25.04 undi dan calon keempat, seorang bekas eksekutif insurans Tan Kin Lian menerima 4.91 peratus undi. Pengundian diadakan semalam.

Dalam pada itu Bernama Online melaporkan bahawa Jabatan Pilihan Raya Singapura memutuskan untuk mengadakan kiraan semula bagi undi setempat. Jabatan itu berkata kiraan semula itu membabitkan dua calon yang meraih undi paling tinggi iaitu Cheng Bock dan Tony Tan.

Memandangkan perbezaan undi yang diraih tidak lebih dua peratus daripada jumlah keseluruhan undi yang diterima, pegawai pengurus pilihan raya membenarkan kiraan semula undi. Bercakap kepada pemberita sebelum itu, Cheng Bock membayangkan kemungkinan kiraan semula akan dilakukan memandangkan keputusan pilihan raya itu menunjukkan bahawa beliau dan Tony Tan bersaing rapat dalam saingan berkenaan.

Pilihan raya Presiden ini disifatkan sebagai ‘bersejarah’ kerana ia julung kali diadakan sejak 1993 apabila Ong Teng Cheong menang dalam pertembungan satu lawan satu, dan buat pertama kali menyaksikan saingan membabitkan ramai calon yang bertanding. Empat ‘Tan’ bertanding jawatan itu untuk menggantikan S. R. Nathan selaku penyandang, yang akan tamat penggal memegang jawatan pada 31 Ogos selepas berkhidmat selama dua penggal.

Laporan Reuters menyebut bahawa undi diperoleh oleh Tony Tan sangat rendah daripada 60 peratus undi popular diperoleh parti memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee pada pilihan raya umum Mei lalu apabila pembangkang mencatatkan prestasi bersejarah buat kali pertama.

PAP tidak mengesahkan Tony Tan secara formal tetapi Lee telah menggambarkan beliau sebagai “pemimpin penyatuan” yang boleh membawa penghormatan dan kredit kepada Singapura. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails