Thursday, April 07, 2011

Tragedi Teoh Beng Hock Kedua: Kesatuan Kastam Sangsi


Peristiwa kematian misteri itu

KL, 7 April 11: Penolong Pengarah Kanan kastam, Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati misteri se3bagai tragedi Teoh Beng Hock kedua dipercayai jatuh di premis SPRM Wilayah Persekutuan, tidak mungkin telah berada di pejabat SPRM awal-awal pagi semalam melainkan ada arahan dikeluarkan kepada Allahyarham.

Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia melahirkan rasa sangsi. Presidennya Ibrahim Ahmad berkata, beliau yakin Ahmad Sarbani Mohamed tidak mungkin telah berada di pejabat SPRM awal-awal pagi semalam melainkan ada arahan dikeluarkan kepada Allahyarham.

Beliau mempertikaikan kenyataan SPRM semalam bahawa Ahmad Sarbani datang ke pejabat SPRM WIlayah Persekutuan tanpa diarah untuk datang membantu siasatan susulan. Ahmad Sarbani, 56, ditahan pada 1 April lalu dan dilepaskan keesokan hari.

Kesatuan itu bersama beberapa persatuan dan kesatuan lain dalam Kastam Diraja Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas petang esok bagi membuat pendirian mengenai kematian Ahmad Sarbani dan juga Operasi 3B kendalian SPRM sejak awal minggu lalu.

Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai RM3 bilion.

“Ini pendirian saya, apa exco (kesatuan) akan putuskan (esok)... kita kena tunggu,” kata beliau sambil menimbulkan persoalan kehadiran Ahmad Sarbani di pejabat SPRM pada pukul 8.26 pagi semalam.

“Tak akan dia (Ahmad Sarbani) datang sendiri, kalau tidak dipanggil tak akan (dia) datang... secara logik, kalau tidak dipanggil, dia tak akan datang,” katanya.

Ibrahim berkata SPRM seharusnya mengeluarkan surat rasmi jika mahu seseorang suspek atau saksi datang ke pejabat mereka bagi membantu siasatan. “Kalau dipanggil, (SPRM) perlu mengeluarkan surat, kalau seseorang hendak datang kena ada surat panggilan (rasmi),” kata beliau malam tadi.

Lazimnya, kata beliau, seseorang khususnya mereka yang disoal siasat tidak akan pergi ke pejabat agensi pencegahan jika tiada arahan dikeluarkan. “Kita tidak akan saja-saja pergi... melainkan seperti wartawan yang akan pergi ke sana, ke sini untuk mencari maklumat,” katanya lagi.

Ibrahim yang bulan lalu patah tangan kiri dan cedera di dahi selepas dihentak dengan batu bata oleh dua lelaki di kawasan perumahannya di Kangkar Pulai, Johor Baru berkata, beliau tidak mempertahankan mereka yang melakukan rasuah tetapi mahu SPRM bertindak secara profesional khususnya dalam hal berkaitan dengan Operasi 3B.

“Salah tetap salah, tetapi cara siasatan (dijalankan) kena profesional,” katanya yang turut mempersoalkan cara pihak berkenaan menjalankan Operasi 3B.

“Apa yang berlaku kepada Teoh Beng Hock, kini berlaku pada pegawai Kastam... perkara ini tidak logik,” katanya lagi.

Difahamkan pada malam sebelum Ahmad Sarbani pergi pejabat SPRM, Allahyarham telah bermain tenis di kawasan kuarters Kelana Jaya dan memaklumkan rakan-rakannya bahawa ada menerima arahan supaya datang ke pejabat SPRM pada keesokan pagi. Rakan zaman kanak-kanak Ahmad Sarbani, Ridzuan Mohamad yang ditemui di kawasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memberitahu, dia tidak percaya apabila dimaklumkan kematian penolong pengarah itu.

Ridzuan juga memberitahu tidak logik Ahmad Sarbani boleh membunuh diri kerana dia sentiasa mempertahankan bahawa dirinya tidak bersalah.

“Malam tadi (kelmarin) dia panggil saya dan memberitahu saya bahawa dia sedang disoal siasat oleh SPRM. Dia berkata dia rasa tidak bersalah kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Dia juga berkata dia akan menghantar satu dokumen esok (semalam), untuk menghantar dokumen,” katanya lagi.

Insiden terbaru ini, yang sekali lagi mengejut dan menggemparkan negara, berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock, yang ditemui mati selepas disiasat SPRM di Shah Alam, dua tahun lalu.

SPRM memulakan Operasi 3B minggu lalu dan telah menahan 62 pegawai kastam di seluruh negara. Sebahagian besar daripada telah dibebaskan sementara menanti siasatan susulan. Pada sidang media semalam, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata mangsa ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi tadi.

Kata beliau, Ahmad Sarbani datang ke bangunan SPRM kira-kira 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan. Katanya, Ahmad Sarbani telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seorang diri dengan menunggang motosikal dan meminta untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya.

DAP hari ini menggesa Putrajaya menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed sehingga siasatan kematian seorang pegawai Kastam Ahmad Sarbani Mohamed selesai. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tindakan menggantung tugas Abu Kassim perlu ekoran kenyataannya yang menyifatkan kematian Ahmad Sarbani tidak patut dieklsploitasikan atau dimanipulasikan sesetengah pihak demi kepentingan peribadi mereka. (IH/The Malaysian Insider)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails