Friday, December 17, 2010

Zina: Kaji Semula Undang Syariah -Prof Madya Dr Paizah

Prof Madya Dr Paizah Ismail


KL, 17 Dis 10
: Undang-undang jenayah Syariah perlu dikaji semula agar sistem kehakiman itu mempunyai kuasa menyeluruh sebagai pencegah gejala zina dan pembuangan bayi yang terus mendapat perhatian masyarakat.

Pensyarah Jabatan Undang-undang Islam Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Paizah Ismail berkata, undang-undang jenayah Syariah yang diamalkan bukan undang-undang bertujuan untuk merealisasikan syariat Islam sepenuhnya.

“Sebaliknya, ia merupakan undang-undang yang berperanan untuk menampung kekurangan yang ada pada undang-undang konvensional dalam hal keagamaan.

“Kerana itulah peruntukan-peruntukan dalamnya lebih bersifat untuk menjaga kepentingan keagamaan bagi umat Islam di negara ini dan bukan melaksanakan undang-undang jenayah Islam sepenuhnya,” kata beliau pada Muzakarah Fatwa “Menangani Zina serta Pembuangan Bayi di kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini.

Melihat kepada kes zina dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa, Paizah berkata undang-undang jenayah Syariah gagal untuk berperanan sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menangai gejala itu.

“Mungkin agak janggal untuk mengatakan undang-undang jenayah Syariah di Malaysia sekarang tidak cukup mampu berperanan sebagai satu faktor pencegah gejala perzinaan dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

“Tetapi itulah hakikatnya, meskipun syariat Islam yang menjadi asas kepada undang-undang mempunyai hukuman yang cukup berkesan bagi menghadapi gejala seperti itu, namun syariat tidak diikuti sepenuhnya oleh undang-undang tersebut.

“Tambahan pula rakyat Malaysia termasuk orang Islam masih prejudis terhadap keadilan syariat Islam, realiti ini telah meletakkan undang-undang jenayah Syariah di tempat yang salah,” katanya.

Beliau juga berkata, dengan sedikit bidang kuasa dan tradisi mahkamah yang kurang mantap, undang-undang jenayah Syariah tidak boleh menyumbang ke arah menyelesaikan masalah zina dan pembuangan bayi.

“Kesan pelaksanaan mungkin ada tetapi sedikit sekali, hasilnya tidak lebih daripada rutin yang tidak mampu mempengaruhi perkembangan masyarakat.

“Justeru dalam menghadapi realiti yang serius seperti soal perzinaan dan pembuangan bayi, undang-undang yang cukup berkesan diperlukan kerana syarat ini tidak dapat dipenuhi undang-undang jenayah syariah sekarang.

“Peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalamnya tidak mampu memberi kejutan kepada remaja dan penuntut terlibat supaya lebih berhati-hati agar tidak akan berhadapan dengan hukuman berat yang sukar dipikul,” katanya. (AK)

Lihat sebelum ini..

3 comments:

Anonymous said...

Persoalannya kini pada saya terletak kepada pemerintah, bila mahu laksanakan undang-undang syariah berkenaan. Jika pemerintah masih juga berdolak-dalik, kajilah banyak mana dan lama mana sekalipun tetap ianya tidak akan dilaksanakan. Pemerintah masih tidak yakin dengan keupayaan undang-undang syariah (baca : hudud)dalam membenteras gejala zina yang berleluasa kini.

free compass said...

terpulang kepada pemerintah dan alim ulama. dosa depa tanggung.

Acinetobaxter said...

gejala zina ini terjadi sebab dua perkara. Pergaulan bebas dan penutupan aurat.

kambing yang diletakkan bersama harimau dalam satu kandang mustahil tidak akan berlaku sentuhan. Harimau pulak dilarang makan kambing meskipun kambing itu makanannya. bila harimau makan kambing, harimau yang salah pasal tak tahan nafsunya.

kambing yang tak kena ngap, akan jadi kambing harimau manakala harimau yang tak ngap kambing akan jadi harimau kambing.

bukan ke manis kalau kambing satu kandang, harimau satu kandang, barulah bijak namanya.

Ini, bila berlaku zina, dua-dua salah, sedangkan persekitaran yang menggalakkannya. Nak ketatkan hukum dalam persekitaran yang salah, maka itu zalim namanya.

cantiknya, mudahkanlah pernikahan, ketatkan undang-undang berpakaian dan asingkanlah lelaki dan wanita. bila dah berlaku perkara itu, barulah patut undang-undang diketatkan sebab memang tak patutlah nak berzina dikala persekitaran sudah dikawal.

aik....profesor pun tak terfikir ke hal ni?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails