Friday, November 12, 2010

Sayap Muda PKR Jumpa Wan Azizah Petang Ini.


KL, 12 Nov 10: Selepas memorandum 48 jam meminta pemilihan dibatalkan ‘ditolak’, usaha ke arah itu diteruskan dengan Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang dilantik sebagai perutusan calon jawatan ketua sayap pemuda parti itu, akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang ini.

Pertemuan itu juga akan meminta agar pemilihan dan proses pengundian, yang diteruskan buat hari keenam hari ini membabitkan 12 cabang, ditangguhkan sebagai salah satu usaha mencari jalan penyelesaian. Esok sebanyak 41 cabang dijadual mengadakan pemilihan. Semalam, jawatankuasa pemilihan pusat mengumumkan pemilihan tidak akan dibatalkan dan diadakan sebagaimana diminta oleh calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, Selasa lalu.

Mustaffa dijadual mengadakan sidang media pagi ini ekoran keputusan parti menolak kata dua 48 jam yang diberikan beliau. Malam tadi, Fauzi mengakui telah menerima resolusi daripada calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan parti itu. Bagaimanapun beliau menegaskan tidak akan mendedahkan isi kandungannya sebelum menyerahkannya kepada Dr Wan Azizah petang ini.

“Saya telah menerima resolusi itu melalui emel dan saya akan serahkannya kepada presiden parti di Kuala Lumpur.

“Demi menghormati presiden parti, saya tidak akan mendedahkan isi kandungan resolusi ini selagi tidak serahkan kepada beliau (Dr Wan Azizah),” kata Fauzi ketika dihubungi.

Bekas timbalan menteri itu berkata tiada sebarang ugutan terhadap parti dalam resolusi yang diterima dan yakin masalah yang berlaku dalam parti dalam diselesesaikan secara baik.

“Tidak ada ugutan, saya yakin masalah ini boleh diselesaikan dengan baik.

“Justeru, saya harap semua pihak dapat memainkan peranan positif bukan sahaja untuk kepentingan parti tetapi juga rakyat,” kata beliau ketika dihubungi di Kuantan.

Badrul Hisham dalam pertemuan yang dinamakan sebagai “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan” malam kelmarin melantik Fauzi sebagai “orang tengah” untuk membawa resolusi tersebut kepada pucuk kepimpinan. Pertemuan yang disertai sekitar 200 ahli AMK, penyokong Badrul Hisham meluluskan enam resolusi — antaranya dipercayai mendesak parti menangguhkan dan mengadakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai “krisis”.

Resolusi itu antara lain menggariskan siri tindakan untuk diambil setiap hari sekiranya permintaan menangguhkan pemilihan dan memperbaiki segala kelemahan dalam proses tidak diatasi. Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham.agi semalam menyatakan kesediaan menjadi “orang tengah” bagi mencari penyelesaian.

Saingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,455 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,428 undi. Sementara itu di Johor, Shamsul selaku Ketua AMK menyelar bekas Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim kerana menggunakan media untuk menyerang kepimpinan parti itu. Berikutan itu, beliau mencabar Zaid untuk berdebat secara terbuka mengenai kepimpinan Keadilan dengannya. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails