Monday, November 08, 2010

Libatkan Tentera, M'sia Sokong AS.. -PM M'sia



KL, 8 Nov 10: Datuk Seri Najib Razak percaya pendidikan yang sempurna dan kesederhanaan dalam mengamalkan ajaran Islam merupakan sebahagian daripada cara Malaysia menangani kewujudkan puak pelampau dalam masyarakat.

Beliau berkata kemampuan kerajaan meningkatkan status sosio ekonomi dengan mengurangkan kadar kemiskinan daripada 50 peratus pada tahun 1960-an kepada 3.6 peratus sekarang selain pembangunan dan perubahan juga merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan dalam membendung ekstremisme.

“Justeru kita nampak hasil pembangunan sebenarnya mengangkat status sosio ekonomi rakyat. Pertama sekali jika anda lihat pada asal usul Islam bagaimana ia menjadi sebahagian daripada dunia kita, ia dibawa oleh pedagang Islam dari Timur Tengah dan disebarkan secara aman.

“Oleh itu Islam sebenarnya tidak pernah dikaitkan dengan ekstremisme dan kegansasan sejak daripada awal,” katanya ketika ditemubual oleh Fareed Zakaria dalam program GPS yang disiarkan CNN di sini malam tadi.

Najib (gambar) berkata bagaimanapun kadang-kadang wujud kumpulan pelampau sama ada di Malaysia atau datang dari negara jiran.

“Kami mesti menanganinya... dan mujurlah agensi keselamatan kita sangat cekap dalam mengambil langkah pencegahan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa dibicarakan.

“Tapi ia bukanlah satu bentuk hukuman. Kita tahan mereka, kita cuba beri didikan kepada mereka dan jika mereka terima bahawa Islam mengamalkan kesederhanaan dan anda tidak sepatutnya mengambil jalan keganasan dan ekstremis, anda akan dibebaskan,” katanya dalam temu bual selama lima minit itu.

Mengenai sama ada Malaysia menyokong penglibatan tentera Amerika Syarikat dalam membendung keganasan di sesetengah negara, Najib berkata pada mulanya Malaysia tidak bersetuju dan berterus terang mengenainya.

Mengenai kontroversi cadangan pembinaan ‘‘Ground Zero Mosque’’ di New York, Najib berkata ia menjejaskan imej Amerika pada pandangan dunia Islam kerana ia seolah-olah apa yang dinamakan fenomena Islamofobia.

“Ia amat membimbangkan dunia Islam dan saya fikir umat Islam merasakan mereka tidak berapa diterima...dan merasakan terdapat perubahan sikap rakyat Amerika terhadap orang Islam, dan adalah amat penting untuk kita kembali ke landasan yang betul,” katanya. — Bernama

Lihat sebelum ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails