Friday, November 12, 2010

Kes Shamala: Mahu Anak Kekal Hindu. Bagaimana?


PUTRAJAYA, 12 Nov 10: Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara menolak permohonan seorang ibu yang mahu dua anak lelakinya, yang ditukarkan sebagai Islam oleh suaminya lapan tahun lalu, kekal dibesarkan dalam agama asal mereka iaitu Hindu.

Ibu terbabit, S. Shamala mengemukakan permohonan agar mahkamah menentukan kesahihan pertukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan pihak yang tidak menukar agama.

Keputusan 5-0 oleh Mahkamah Persekutuan hari ini dilihat sebagai satu lagi ‘tamparan’ bagi pertikaian membabitkan pertukaran agama satu sebelah, yang sekian lama menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat pelbagai budaya dan negara sekular yang agama rasminya ialah Islam.

Panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Azmi juga memutuskan bahawa S. Shamala mesti kembali negara jika mahukan perlindungan mahkamah. Ibu berusia 38 tahun itu meninggalkan negara bersama dua anak lelakinya pada 2004. Lokasi semasa mereka tidak diketahui.

Mahkamah Persekutuan dipertanggungjawabkan untuk menentukan kesahihan pertukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan bapa atau ibu yang tidak menukar agama.

Mahkamah tertinggi itu dijadualkan membuat penghakiman terhadap lima persoalan undang-undang termasuk percanggahan undang-undang Islam dan sivil berkaitan pertukaran agama dan hal ehwal keluarga serta Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama.

Shamala berkahwin dengan Jeyaganesh C. Mogarajah, 41, mengikut undang-undang perkahwinan sivil pada 1998 tetapi empat tahun kemudian, Jeyaganesh memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Ridzwan Mogarajah. Muhammad Ridzwan turut menukar agama kedua-dua anak lelaki mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.

Satu daripada persoalan yang timbul adalah sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama anaknya daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama, tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961.

Kes hak penjagaan anak Shamala-Muhamad Ridzwan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan persoalan perlembagaan. Malaysia mempunyai dua sistem perundangan iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah, yang membicarakan serta menjatuhkan hukuman terhadap orang Islam bagi kesalahan sivil dan jenayah agama.

Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk mengubah agama anak-anak hasil perkahwinan sivil mereka tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama.

Peruntukan itu bagaimanapun tidak konsisten dengan pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memberikan hak sama rata kepada ibu atau bapa dalam membesarkan dan penjagaan anak-anak mereka. Shamala yang memperoleh hak penjagaan terhadap dua anak lelakinya itu diperintah untuk tidak mengajar agama kepercayaannya kepada kedua-dua anaknya itu atau memberi mereka makan babi.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Kembali kepada perundangan Islam. Di dalamnya ada formula penyelesaian menurut Islam, termasuk hak bukan Islam dalam negara Islam, hukum murtad dan lain-lain. Islam agama keselamatan, tidak pilih Islam, tidak selamat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails