Saturday, November 13, 2010

Bantah Filem Gay, 'Anu Dalam Botol', Apa Cerita Ni?

HALAMAN HIBURAN
KL, 12 Nov 10: “Anu Dalam Botol” sebuah filem Malaysia yang didakwa bertemakan kehidupan gay, ditentang penayangannya oleh Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP). Ketuanya, Nasruddin Hassan, berkata sikap penerbit filem tersebut Raja Azmi Raja Sulaiman, wajar dipersoal kerana cuba menonjolkan budaya songsang untuk tatapan masyarakat negara ini.

"Apakah sebenarnya motif utama pembikinan dan penyiaran filem berkenaan?

Adakah ia merupakan isu atau fokus penting dikalangan masyarakat terutamanya golongan belia pada hari ini? Malah, DPPP juga hairan mengapa pihak beliau menamakan judul filem asal berkenaan adalah “Anu Dalam Botol”?," soal Nasruddin.

Beliau berkata demikian setelah merujuk kepada laporan sebuah portal berita tempatan semalam bahawa Raja Azmi telah menghantar skrip filem berkenaan kepada pihak berkuasa agama di negara ini selain daripada Lembaga Penapisan Filem untuk mendapatkan nasihat dan kebenaran.

Kata Nasruddin lagi, DPPP bukan bersifat taboo dalam membincangkan soal-soal seksualiti. Malah katanya perbahasan Fiqh (Hukum Hakam Islam) telah dibincangkan secara panjang dan mendalam isu-isu mengenai seksualiti tanpa rasa segan silu kerana ia demi kepentingan ilmu dan kefahaman masyarakat.

Menurutnya, perfileman, sepatutnya memainkan peranan yang betul untuk membangunkan minda masyarakat dengan cara menerbitkan filem-filem yang berkualiti disamping menggunakan sistem teknologi yang canggih.

"DPPP berpandangan bahawa kualiti adalah berdasarkan kepada jalan cerita atau pengisian yang memberikan kesan besar dalam diri masyarakat supaya menjadi lebih baik dan mampu mengkoreksi peribadi individu dengan mengambil kira pertimbangan agama, budaya dan nilai yang perlu diterapkan kepada masyarakat," katanya. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails