Tuesday, November 09, 2010

Maklumat Cepat, Komen Kpd Kenyataan Presiden PAS



KL, 8 Nov 10:
Kekalahan PAS di Galas memerlukan parti itu memperbanyakkan cawangan aktif di kawasan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Cawangan yang aktif, katanya penting bukan sahaja dalam usaha menyampaikan maklumat tepat, malah sebagai duta PAS mendampingi masyarakat.

"Pengajaran besar adalah kita perlu banyak cawangan bergerak.

"Saya harap PAS negeri banyakkan cawangan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas faktor kekalahan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas 4 November lalu. Pada PRK itu Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi berbanding calon BN, Abdul Aziz Yusof 5,324 undi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kebanyakan PAS kalah adalah di kawasan pedalaman di mana parti itu tidak mempunyai cawangan yang aktif. Sebaliknya, rakyat bandar dan pinggir bandar masih mengekalkan sokongan kepada PAS seperti PRU 2008 lalu.

"Trend rakyat bergantung kepada maklumat. Bila rakyat tidak dapat maklumat, kita sukar untuk menang," katanya lagi.

Faktor tersebut juga, ujarnya membezakan kenapa PAS mampu mengekalkan pemerintahan Kelantan namun tidak di Terengganu.

"Saya bangga PAS Kelantan mampu bertahan lebih 20 tahun walaupun dikepung segenap penjuru.

"Bezanya dengan Terengganu adalah kerana Kelantan mempunyai banyak cawangan yang bergerak," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Selain maklumat tidak sampai, faktor besar kekalahan PAS, katanya adalah padang permainan tidak sama rata. PAS, katanya bukan sahaja berdepan BN, malah berdepan kerajaan itu sendiri.

"Kita tak rasa hairan dengan keputusan itu, bahkan kita merasa hairan jika kita menang.

"Kita ada pengalaman, kita pernah kalah pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, tapi bila pilihan raya umum, kita menang.

"Pilihan raya kecil tidak boleh menjadi ukuran sebenar pilihan raya," katanya.

Beliau bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih kepada petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus menjayakan kempen PAS di Galas. Beliau juga menolak pendapat sesetengah pihak yang mendakwa tsunami politik 2008 berhenti di Galas. Menurutnya, arus perubahan khususnya di kalangan pengundi muda masih berlaku dan akan terus berlaku jika mereka mendapat akses maklumat.

"Kita lihat mereka yang berpendidikan tinggi, tidak suka kepada BN. Ini satu perkembangan yang baik," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:

Satu: Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kebanyakan PAS kalah adalah di kawasan pedalaman. Trend rakyat bergantung kepada maklumat. Bila rakyat tidak dapat maklumat, kita sukar untuk menang. Menurutnya, arus perubahan khususnya di kalangan pengundi muda masih berlaku dan akan terus berlaku jika mereka mendapat akses maklumat. Begitu pentingnya maklumat dalam menjana kemenangan.

Dua: Selain itu, kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah. Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

Yang menjadi masalah, menurut Datuk Phahrolrazi, adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri. Kerajaan negeri, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah. Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah.

Tiga: Dari dua kegagalan di atas, kalah di Galas dan 'media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan' negeri Kedah mengenai masalah 'tidak membantu mangsa banjir', membuktikan kelemahan pentadbiran PAS dan kerajaan pimpinan PAS. Contoh, sepatutnya tidak timbul soal pembahagian tanah di Galas, kalau rakyat orang Melayu dan orang Asli dapat penjelasan sebenarnya mengenai Ladang Rakyat yang ditubuhkan untuk membebaskan monopoli golongan kecil menguasai tanah kerajaan.

Empat: Kerajaan BN telah memperuntukkan jumlah kewangan yang besar atas nama 'celek IT' untuk menguasai media pantas internet terus ke ceruk-rantau pendalaman negara, demi mengekalkan kekuasaan pentadbiran mereka sepanjang masa. Lihat bagaimana mereka menguasai ketua-ketua kampung dan agen-agen penting mereka seperti sekolah-sekolah dan lain-lain dipendalaman dengan media pantas itu. Pengalaman PRU 12 dengan jatuhnya beberapa negeri lagi ke tangan pembangkang telah betul-betul mengajar mereka.

Lima: Contohnya, kita bersetuju dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membekalkan talian internet percuma kepada rakyatnya. Hal ini suatu langkah awal ke arah penyaluran media pantas kegiatan-kegiatan kerajaan ke kawasan pinggiran bandar. Ini boleh ditiru, supaya perkara-perkara seperti dua kes di atas (Satu & Dua) boleh di atasi.

Enam: Kita bersetuju dengan cadangan Tok Guru presiden PAS supaya aktif sebar maklumat samada melalui penubuhan cawangan-cawangan PAS atau lain-lain. Yang penting 'media pantas' perlu dikuasai dan maklumat perlu cepat sampai ke akar umbi. Baru dapat wujudkan ramai duta PAS mendampingi masyarakat. Kalau tidak, hasrat menawan Putrajaya menjadi hanya igauan di siang hari.

Tujuh: Tangani dan kuasai bloger-bloger, termasuk memberi sokongan kepada mereka dari segi pemberitaan, skim galakan dan lain-lain yang difikirkan perlu. Bukan dengan hanya sekali dua taklimat untuk bloger ahli PAS sahaja.

Sekian Wallahu 'aklam.

Ikuti kisah PRK dari mula, seterusnya hingga ulasan-ulasan terakhir.
PRK DUN GALAS.

1 comment:

musafirlalu said...

Salam Tuan Syeikh.... Saya amat bersetuju dengan komen yang tuan lontarkan kerana maklumat yang lambat sampai. Kita imbas kembali tentang tengkolok Ku Li pada 1990, banner wang zakat yang dihulurkan oleh TGNA dan bermacam-macam propaganda lagi disaat-saat akhir pengundiaan. Kita bukan berlawan dengan BN yang tiada jentera, tetapi kita melawan seluruh jentera kerajaan yang ada kat Malaysia ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails