Saturday, June 26, 2010

MB S'ngor Tak Berubah, Tapi Bukan Desak Turun -Azmin Ali

SHAH ALAM, 26 Jun 10: Kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menerajui Selangor tidak memperlihatkan perubahan meskipun telah ditegur secara terbuka ketika Kongres Nasional PKR Keenam akhir bulan lalu, dakwa Naib Presidennya Azmin Ali hari ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan, beliau tidak pernah mendesak Khalid akan diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

“Semasa kongres ahli parti telah menegur Khalid dan barisan exconya supaya peningkatkan sistem pentadbiran negeri.

“Tetapi malang selepas sebulan kita masih belum nampak satu tindakan proaktif yang diambil beliau terhadap setiap teguran yang dibuat,” kata beliau ketika ditemui di sini sesi pemukiman PKR di sini petang ini.

Beliau berkata tindakan ahli parti menegur Khalid bukan bermaksud mahu beliau meletakkan jawatan tetapi hanya sekadar teguran yang membina.

“Kita tidak pernah suruh Khalid meletakkan jawatan, cuma saya dan pemimpin lain merasakan beliau dan barisan kepimpinannya perlu memberikan perhatian secara serius terhadap teguran yang dibuat.

“Kita tegur berdasarkan rungutan yang diterima daripada rakyat. Jadi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kita perlu memberikan teguran yang membina supaya setiap kelemahan itu dapat diatasi,” katanya.

Tiga hari lalu Azmin meletakkan jawatan sebagai pengarah anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS), yang banyak pihak melihat sebagai petunjuk rasa tidak senang beliau terhadap kepimpinan Khalid.

Bagaimanapun Azmin juga menafikan andaian itu. PKR memulakan sesi pemukiman dua hari petang tadi. Azmin menjadi tumpuan isu baru menyelubungi PKR khususnya Selangor ekoran laporan bahawa 15 Ahli Parlimen dikatakan akan mengemukakan petisyen kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menukar kepimpinan Menteri Besar Selangor.

Isu itu dijangka menjadi salah satu agenda perbincangan sesi pemukiman kali ini. Azmin berkata kerajaan negeri perlu meningkatkan sistem pentadbiran negeri supaya agenda untuk merakyatkan ekonomi dapat diteruskan.

“Kerajaan negeri perlu memastikan pelaburan ditingkatkan supaya pendapatan negeri juga akan meningkat.

“Kalau tiada peningkatan dari segi pendapatan macam mana nak mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat.

“Jadi tidak mungkin kita boleh meneruskan agenda merakyatkan ekonomi kalau negeri ini bangkrup. Jadi kerajaan negeri harus memperkemaskan pengurusan pentadbiran dengan cekap,” katanya.

Azmin menambah pentadbiran kerajaan negeri juga harus menghentikan birokrasi dengan serta-merta.

“Birokrasi yang ada dalam sistem pentadbiran perlu dihentikan dengan serta-merta kerana jika terlalu banyak birokrasi ekonomi akan menjadi lembab.

“Selain itu, setiap permohonan yang dibuat perlu diberikan kelulusan dengan cepat, telus dan bertanggungjawab serta mengikut prosedur yang ditetapkan,” katannya. (AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Gelombang kopi dalam cawan, sedangkan lidah lagi tergigit...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails