Monday, June 21, 2010

Kisah Di Sekolah Gajah, Dia Curi Pisang Saya!

Catatan Perjalanan: Riau 2 -Dumai




INI bukan pertamakali saya pernah sampai di Dumai. Kira-kira hampir Asar, setelah bertolak naik feri kira-kira jam 9 pagi dari Pelabuhan Kelang, Malaysia. Di kawasan pelabuhan itu, di bawah pokok saya makan sate Padang dengan beberapa penumpang yang tadinya sama-sama dalam feri.

"Kira-kira 15 tahun lalu saya pernah ke sini.. Saya membawa pelancong-pelancong Malaysia melawat sekolah gajah berhampiran pekan Duri di sini.." Saya memulakan perbualan.

"Sekolah gajah? Ai, gajah pun bersekolah juga?" tersentak ibu didepanku, terkejut.

Hal ini membuat ingatanku terbang menghimbau kisah-kisah lama di sini. Di mana sebuah berita antarabanga WWF atau World Wide Fund For Nature telah membuat filem dokumentari mengenai konflik gajah dan manusia di Riau. Berita yang menyorot ingatan semasa saya bersama-sama Syarikat GG Edar melawat Pusat latihan Gajah yang saya namakan 'sekolah gajah' waktu itu.

Dumai ialah sebuah bandar pelabuhan, kaya dengan minyak seperti Kelantan dan Terngganu kalau di Malaysia Barat. Dari Dumai ke pekan Duri, terus arah ke Pekan Baru kira-kira 2 jam perjalanan dengan Toyota Kijang, merentasi kampung, kawasan pembalakan dan hutan belantara. Masih terbayang, apabila pekerja-pekerja di situ kerumuni kami, seolah-olah kami orang luar pertama melawat pusat latihan yang baru dibina itu. Termasuk beberapa pemuda 'pawang gajah' jurulatih handal berpengalaman, yang diimport dari Thailand.

Mereka terus buat pertunjukan, dipanggilnya 10 ekor gajah. "Pusat Latihan ini baru dibuka." kata salah seorang jurulatih atau pawang gajah itu, memberi taklimat. "Tapi yang 10 ini adalah terbaik dari 80 ekor yang ada."

"Yang lain di mana?" Saya tanya, kerana saya tak nampak pun, di dalam kawasan yang kira-kira 4 ekar itu. "Di mana tempat tidur mereka?"

"Oooo. Kalau bapak datang ke sini kira-kira jam 9 pagi atau 5 sore, saya akan bawa bapak ke tepi sungai belakang pusat latihan ini.." katanya, sambil jarinya menunjuk arah sebuah kawasan semak berlorong menuju sebuah sungai dibawah pohon-pohon besar. "Bapak bisa lihat, mereka mandi-manda ramai-ramai. Lepas itu mereka pulang. Mereka datang, bila kami panggil."

"Eh. Bagaimana makan-tidurnya, tak diberi?" Antara kami bertanya.

"Aah, itu urusan mereka sendiri! Rimba inilah kampung halaman mereka, tiada manusia yang terganggu di sini." Sambung jurulatih itu sambil terkekeh-kekeh tertawa.

Pertunjukan pun bermula.

"Siapkan barisan!!" Perintahnya dengan suara nyaring kepada gajah-gajah itu. Semua gajah-gajah itu mengikut, kecuali seekor anak gajah, yang tidak indahkan peraturan, nampaknya. Pawang jurulatih itu pun tidak ambil kisah.

Sesudah berbaris, gajah itu disuruh duduk.

"Ya, bapak. Sila hulurkan tanganmu, bersalaman degan gajah-gajah ini." Saya pun bersalaman dengan belalainya, satu persatu hingga selesai barisan itu.

Diperintahkan gajah itu bermain bola. Tiap gajah, ada seorang gembala atau pawang jurulatih itu ditengkuk yang sentiasa mengawalnya. Gajah itu menyepak bola ke kiri ke kanan. Disuruh pula meniti jambatan diperbuat dari papan tebal. Lebarnya kira-kira 1-2 kaki, agak jauh puluhan kaki juga... susunannya bagai itek berbaris berlenggang pulang petang.

Seterusnya, gajah-gajah itu disuruh berjalan melintasi beberapa anak muda yang bergelipangan berbaring di atas tanah. Gajah itupun berjalan, meletakkan kakinya di celah anak-anak muda yang berbaring itu, berhati-hati hindari dari terpijak pemuda itu. Beberapa gajah sudah lulus ujian.

Tetapi, tiba-tiba seorang dari pemuda yang berbaring itu melompat bangun lari lintang pukang dari pembaringan itu. Pemuda-pemuda lain pun terus mengikut begitu satu persatu. Menyebabkan acara itu tidak jadi diteruskan. "Mengapa?" Saya tanya spontan.

"Aku kenal gajah-gajah itu Pak. Yang hampiri aku tadi itu, antara yang paling degil. Aku nampak dia naik angin Pak. Aku yakin dia akan pijak aku betul-betul! Sebab itulah aku lari. Jangan sampai penyet tak bernapas!!" Jelasnya dalam kepenatan.

Acara berikutnya, menunggang gajah ala cowboy, sehingga dua kaki depannya terangkat ke atas. Ini antara acara paling menarik, sehingga penonton-penonton bersorak-sorai gembira. Dan banyak lagi acara-acara lain seperti bergayut di belalinya beramai-ramai, semua gajah berbaring tidur macam manusia, atau bersalaman sesama sendiri belalai bertemu belalai bagaikan tanda perpisahan.

Bila tahu kami akan pulang, gajah-gajah dan pekerja-pekerja sekolah tersebut berkumpul bersama-sama mengucapkan salam perpisahan dan bergambar beramai-ramai. Seolah-olah suasana sedih menyelubungi perasaan masing-masing. Mereka mengharapkan kami akan membawa lebih ramai lagi pengunjung-pengunjung menziarahi mereka.

"Kalau bapak mahu beli gajah, atau ada syarikat-syarikat teman bapak mahu membeli atau menyewa gajah kami untuk pertunjukan dan sebagainya, sila datang ke sini, bisa pilih Pak!" Kata salah seorang pegawai pemasaranya.

Gajah pun boleh ikut peraturan kalau betul cara didiknya, apa lagi manusia. Kanak-kanak yang dilahirkan bersih, cuma peranan ibubapanya, yang men'yahudi-nasrani'kan. Begitu juga bagi sesebuah kerajaan, maju mundurnya terletak kepada kemampuan peminpinnya. Bila negara menghadapi masalah buang anak, masalah seks remaja, dan sebagainya, siasatlah tentu ada cacat cela pemerintahnya. Sila betulkan. Kalau pemerintah masih degil juga, tukar pemimpin atau tukar kerajaan. Pilih parti yang mahukan kemajuan dunia akhirat menurut Islam.

Tiba-tiba terdengar suara riuh orang ramai dari arah kedai makan dan buah-buahan di belakang kami. Tuan gerai itu menjerit..

"Dia curi piang saya! Dia curi pisang saya!" Sambil menunjukkan arah seekor anak gajah yang melarikan se sikat pisang. "Kami nggak bisa buat apa-apa, karena dia kuat!"

Itu baru se sekor anak gajah yang sedang ditarbiah, apa lagi kalau anak seorang pemimpin negara. Teruk lagi kalau ianya seorang bapak kepada pemimpin-pemimpin, atau pemimpin no 1 negara yang tidak pernah ditarbiah secara Islam untuk memimpin umat majoriti Islam?? Jauh panggang dari api!

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan Riau 2.
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Dumai Riau, Indonesia.
Jun 17, 10.

Sila lihat catatan perjalanan di Riau..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails