Sunday, June 27, 2010

MB S'ngor Tak Hadir Retreat PKR, Letak Jawatan?

SHAH ALAM, 26 Jun 10: Ketidakhadiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, yang menjadi perhatian banyak pihak dengan dakwaan wujudnya gesaan agar meletakkan jawatan, tidak kelihatan di retreat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung di sini.

Retreat dua hari itu bermula petang ini dan ketiadaan beliau menimbulkan tanda tanya di kalangan pemimpin parti itu. Media The Malaysian Insider difahamkan sesi ini sepatutnya dihadiri oleh kesemua pemimpin tertinggi parti itu. Namun begitu Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor tidak kelihatan. Khalid juga ketua bahagian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Salah seorang Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub ketika ditanya berkata, kemungkinan besar Khalid mempunyai komitmen lain sehingga menyebabkan beliau tidak hadir.

“Sebenarnya saya tidak tahu kenapa beliau (Khalid) tidak hadir, mungkin beliau ada komitmen lain. Mungkin ada program negeri,” kata beliau.

Difahamkan juga, pertemuan ini sudah lama diaturkan selepas Kongres Nasional PKR di Kota Baru akhir bulan lalu. Seorang lain Naib Presiden, Azmin Ali berkata, beliau sendiri tidak menyedari ketidakhadiran Khalid sejak petang tadi.

“Beliau tiada di sini? Sepatutnya kesemua pemimpin PKR termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Majlis Pimpinan Pusat perlu hadir.

“Jadi saya tidak tahu kenapa beliau tidak hadir,” kata Azmin, yang sebelum ini menafikan telah meminta Khalid agar berundur dari jawatan Menteri Besar.

Sesi pemukiman yang dihadiri kira-kira 80 orang pemimpin parti itu dipercayai membincangkan mengenai persiapan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang dan pemilihan jawatankuasa tertinggi PKR November ini. Sementara itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata sepatutnya Khalid perlu menghadiri pertemuan yang sedang berlangsung di ibu negeri Selangor ini.

“Saya tidak tahu kenapa beliau tidak hadir, mungkin ada komitmen lain.

“Sepatutnya selaku Pengerusi PKR Selangor beliau kena menghadirkan diri,” kata beliau yang juga ahli Parlimen.

Beberapa pemimpin PKR lain yang dihubungi juga mengesahkan Khalid tidak kelihatan setakat malam ini. Terdahulu laporan Bernama menyebut, Khalid tidak terfikir untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor walaupun terdapat khabar angin wujudnya pakatan dalam PKR yang ingin menyingkirkannya daripada jawatan tersebut.

“Saya tidak terfikir perkara itu,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-17 Majlis Belia India Malaysia Selangor di sini hari. Selain Khalid, dua lagi Adun dari Selangor juga tidak kelihatan pada pertemuan hari ini. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails