Friday, July 02, 2010

Anwar, Yahudi & Washington Post, Komen Mereka..



KL, 1 Julai 10: "Saya tidak mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim nyatakan pendirian peribadinya dengan Yahudi, saya desak dia nyatakan pendirian berhubung laporan Washington Post itu," tegas Datuk Harun Taib (kanan).

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu membuat penegasan demikian ketika diminta mengulas lanjut berhubung berita mStar Online hari ini yang berjudul 'Isu Israel: Ketua Dewan Ulama PAS Minta Anwar Nyatakan Pendirian'.

Pun begitu, beliau mengaku bahawa beliau enggan memberi lebih banyak komentar berhubung laporan akhbar antarabangsa itu sebagaimana yang dilaporkan oleh wartawan mStar, Ariffuddin Ishak tadi.

Namun, sekiranya benar sekali pun berita tersebut, beliau berkata, kenyataan Anwar itu bukanlah mencerminkan pendirian umum Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendirian PAS konsisten menentang kezaliman zionis Israel di Gaza, terutama sejak armada Mavi Marmara dihalang menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu. Demikian dilaporkan Harakahdaily.net.

Sebelumnya mStar Online melaporkan, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib menuntut supaya Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menyatakan pedirian sebenarnya berhubung isu permohonan maafnya kepada kaum Yahudi.

"Jika benarlah sepertimana yang dilaporkan, jelas sekali Datuk Seri Anwar tidak konsisten dalam isu ini... sebelum ini beliau bersama-sama kita (PAS) turut mengutuk kekejaman zionis.

"Tapi kali ini berbeza, beliau nyatakan pandangan yang tak menentu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai satu laporan akhbar Washington Post Isnin lalu yang mengatakan bahawa Anwar berada di Washington DC selama beberapa hari minggu lepas untuk memberitahu rakan-rakannya di Amerika bahawa beliau kesal kerana menggunakan istilah seperti "pencerobohan zionis".

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata beliau kesal kerana telah menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis" yang lazim digunakan oleh "penghasut terkenal seperti Mahmoud Ahmadinejad.

Akhbar itu juga menyebut bahawa Anwar menyertai satu tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika di Kuala Lumpur baru-baru ini di mana sehelai bendera Israel dibakar, dan beliau juga membuat sindiran pedas mengenai firma perhubungan awam yang berpejabat di Washington DC yang menurutnya "dikuasai Yahudi" Apco Worldwide, yang digunakan khidmatnya oleh kerajaan Malaysia.

Isu terbaru mengenai Anwar memohon maaf kepada Yahudi Amerika itu juga turut diperkatakan dengan meluas dalam blog-blog politik dan juga sosial tempatan. Bagaimanapun Harun yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menyifatkan kenyataan Anwar itu lebih bersifat peribadi.

"Saya tak nak komen banyak mengenai laporan itu, kami anggap itu adalah soal peribadi beliau," katanya.

Namun tegasnya, PAS tetap dengan pendirian mereka seperti yang dibangkitkan pada Muktamar Tahunan parti itu baru-baru ini iaitu lantang mengutuk kekejaman Israel terutama selepas tragedi berdarah serangan kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara pada 31 Mei lalu.

Sementara itu Malaysiakini menjelaskan, ketua penerangan PKR. Latheefa Koya (kiri) berkata, "Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana."

Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini.

Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi. Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Latheefa berkata, Anwar telah menjelaskan kepada pemimpin PKR bahawa dalam pertemuannya dengan pemimpin negara kuasa besar itu, beliau mengambil peluang menjelaskan perbezaan istilah "Yahudi" dan "Zionisme" seperti yang digunakan dalam konteks Malaysia. Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum.

'Mereka American' "Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas.

"Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis." Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika".

"Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, mereka American (orang Amerika)," katanya lagi.


Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) pula menyifatkan laporan Utusan Malaysia hari ini berniat jahat dan bagi menggambarkan Anwar pro-Yahudi.

"Mereka tidak faham seluruh artikel (dalam Washington Post) dan tidak membacanya dengan penuh teliti," katanya. Katanya, jika dinilai berdasarkan tindakan Anwar mengkritik keganasan Israel dalam insiden berdarah flotila Mavi Marmara, jelas bahawa Anwar konsisten menentang keganasan Zionisme.

Ditanya tentang laporan bahawa Anwar dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis", Shamsul yang juga ketua majlis pimpinan PKR Melaka menjelaskan: "Saya tidak rasa artikel dalam Washington Post itu ada menggunakan perkataan kesal." (AK)

3 comments:

Malaysia said...

kah kah kah..kesian ngan anwar duk sibuk kata orang yahudi tiba2 dia lak gi minta maaf..sape yang pro yahudi gamaknya..itu lum lagi kisah duk dalam ICG dan iktiraf israel melalui anapolis sumit...
udah2 la pikul biawak idup...

Anonymous said...

Artikel yang ditulis dalam malaysiakini kurang jelas. Tetapi artikel dalam washington post memang jelas.
Artikel tentang komen Anwar ini bleh dibaca di lama http://www.washingtonpost.com/wp-dyn/content/article/2010/06/27/AR2010062703261.html
Anda baca sendiri apa yang disampaikan oleh editor bangsa Yahudi ini sendiri.

Lelucu said...

selahi PAS bergabung dengan PKR, Keadilan dan parti 2 lain yang tak rasional selagi itulah PAS takkan menang pilihanraya.
Pemikiran rakyat dimomok dengan Media massa kerajaan.
Sekarang ramai yang mengeluh gaji tak cukup, PLUS makan duit rakyat, harga kereta dan insuran yang tak rasional malah BN digelar BISNES NIAGA kerana khairi jamaludin dan sekutunya sibuk buat projek, bisnes dan duit tambahan melalui lesen BN.
Rakyat ramai yang tak sukakan BN sekarang kerana banyak menyusukan kera di luar berbanding rakyat sendiri tapi rkyat juga ramai yang risau jika undi PKR negara ini akan jadi tak stabil akibat pecahan parti, tiada pengalaman memerintah negara dan percakaran dalam PKR serta kemungkinan PM pun tak dapat pada orang MELAYU nanti jika PKR menang. Walaupun dah bosan dan muak dengan BN rakyat terpaksa juga undi BN demi fikirkan keamanan dan kestabilan negara serta politik. Kalau dikira asas saja semua orang MELAYU ISLAM pun dah tau kita takl layak undi BN kerana pemimpin tak layak, isteri masing2 tak ikut syariat ISLAM, skandal. politik wang, rogol dll. tapi kita semua dah mabuk dengan pengaruh DAJJAL, lebih mementingkan dunia kerana kita sayang pada keluarga, saudara, kerja, wang dan kepentingan dunia.'
Rakyat semua faham undi BN jahanam
tapi apa pilihan lagi yang rakyat ada untuk negara tercinta ini.
Orang Melayu dulunya mekar tapi sekarang sudah layu. Bangsa lain ketawa melihat kita layu dari dalam tanpa dipaksa atau dipengaruh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails