Sunday, June 27, 2010

Selesai Desas-desus Konflik Azmin Ali-Khalid Ibrahim.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Datuk Zaid Ibrahim dengan diperhatikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.

SHAH ALAM, 27 Jun — Di sebalik desas-desus mahu menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang ini mengumumkan rombakan kepimpinan negeri dengan Azmin Ali mengambil alih jawatan pengerusi negeri Selangor berkuat kuasa hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim pula mengambil alih kepimpinan PKR Wilayah Persekutuan menggantikan Azmin. Kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar tidak mengalami sebarang perubahan. Rombakan diumumkan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di akhir sesi pemukiman dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat di sini petang ini.

Wan Azizah berkata, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan perhatian terhadap soal pentadbiran kerajaan negeri. “Khalid memohon untuk melepaskan jawatan bagi menumpukan tenaganya untuk disalurkan kepada pentadbiran negeri,” kata beliau pada sidang media.

Sementara itu, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu dua negeri lagi akan mengalami pertukaran pucuk pimpinan yang akan dimumkan tidak lama lagi. “Dua lagi negeri akan mengalami pertukaran pucuk pimpinan tetapi ia masih belum muktamad,” katanya.

Beliau juga menafikan bahawa wujud pakatan yang mahu menggulingkan Khalid sebagai menteri besar.

“Perkara itu tidak bangkit sama sekali sebaliknya kita memberikan sokongan dan dokongan penuh kepada kepimpinannya.

“Kita tengok Khalid pun tidak sensitif sangat. Yang sensitif akhbar Umno,” katanya.

Sebelum ini wujud spekulasi bahawa 15 Ahli Parlimen PKR mahu mengemukakan petisyen meminta Khalid digantikan daripada kepimpinan negeri pada sesi pemukiman dua hari. Khalid tidak hadir sesi pemukiman semalam dan pagi ini.

Usaha untuk meminta Khalid melepaskan jawatan Pengerusi PKR Selangor kedengaran selepas Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil April lalu. (AK)

Komen Blog Ibn Hasyim: Harap-harap selesai desas-desus konflik Azmin-Khalid.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails