Monday, June 28, 2010

Spekulasi Lagi, 4 ADUN S'ngor Keluar PKR..


KUALA LUMPUR, 28 Jun 10: Hari ini wujud spekulasi baru mendakwa empat ADUN PKR akan keluar kerana Tan Sri Khalid Ibrahim masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor. Mereka ialah Haniza Mohd Talha dari kawasan Taman Medan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Sri Muda) sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar. Khabar angin ini mula tersebar sejak pagi tadi.

Selain SMS, beberapa panggilan yang diterima oleh berbagai pihak. SMS itu berbunyi “empat ADUN PKR Selangor dikhabarkan akan meletak jawatan kerana tidak bersetuju Khalid kekal sebagai MB.” Nik Nazmi merupakan bekas setiausaha politik Khalid. Beliau digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa bulan depan.

Amirudin memberitahu The Malaysian Insider, beliau dan rakan-rakannya menghormati keputusan pucuk kepimpinan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar. “Tidak, tidak... sebelum saudara tanya saya jawab soal dulu, tidak. Setakat ini tiada apa-apa, kami kekal dengan PKR,” kata Amirudin sebaik sahaja dihubungi The Malaysian Insider.

“Semuanya sudah bersetuju, kami menghormati Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi PKR Selangor manakala Tan Sri Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor... ini diumumkan pada pertemuan Majlis Pimpinan Pusat semalam dan semua terima” kata Amirudin sambil menambah, beliau dan Nik Nazmi makan malam tadi bersama dan tidak membincangkan apa-apa, kononnya “akan keluar PKR.”

“Saya tidak tahu mengapa secara tiba-tiba benda ini wujud balik,” kata Amirudin lagi.

Menerusi ruangan twitter, Nik Nazmi berkata: “saya baru terima panggilan daripada pemberita, bertanya sama ada saya salah seorang daripada empat ADUN berkenaan yang mahu meletakkan jawatan.”

“Satu lagi penipuan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata tidak tahu-menahu apa-apa cerita sebenar. “Ini kali kedua saya mendengar benda yang sama.

“Saya menafikan... perang saraf biasanya macam inilah,” kata beliau.

Di akhir sesi pemukiman dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR petang semalam, Naib Presiden Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan. Pelantikan itu berkuat kuasa petang semalam.

Wan Azizah ketika membuat kenyataan itu berkata pelantikan Azmin adalah bagi menggantikan Khalid yang juga Menteri Besar Selangor. “(Tindakan) ini setelah dipohon oleh Tan Sri yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuat kuasa serta-merta,” katanya semalam. Sebelum ini Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Khalid yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menafikan tindakannya berundur daripada mengetuai PKR Selangor disebabkan tekanan daripada pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. (Sumber: The Malaysian Insider/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails