Saturday, January 23, 2010

Isu God Allah: Sultan S'ngor, Abdul Hadi, Khalid Samad & IKIM



KL 23 Jan 2010: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dulu semalam sebenarnya tidak membuat apa-apa resolusi.

Penjelasan tersebut sekaligus dilihat berbeza dengan berita 'God bukan Allah -Ikim' seperti yang dilaporkan akhbar harian bahawa ahli muzakarah sebulat suara bersepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi ganti nama 'God' atau 'Tuhan' adalah tidak tepat.

"Ya, muzakarah itu tidak mempunyai apa-apa resolusi, laporan itu tidak betul," jelas Abdul Hadi. Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh disalah guna untuk mengelirukan umat Islam.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli parlimen Marang, pada 7 Januari lalu.

Selain Ustaz Abdul Hadi, muzakarah semalam disertai Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Dr Mohd Nur Manuty, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Ikim Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Ikim, Md Asham Ahmad.

Muzakarah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Ikim, Nik Mustapha Nik Hassan itu turut disertai oleh Pengerusi Ikim yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pensyarah dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Dr Abdullah Md. Zain.

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj menitahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad supaya mengusahakan suatu cadangan enakmen berkaitan masyarakat bukan Islam di negeri itu. Dengan itu sekaligus menafikan bahawa Khalid dititahkan ke istana disebabkan isu kalimah 'Allah' sebagaimana yang dilaporkan beberapa media massa, dalam pertemuan kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik PAS Pusat menganggap Sultan Sharifuddin sebagai seorang pemimpin yang bersikap toleransi dalam melihat beberapa isu mutakhir yang membabitkan umat Islam dan masyarakat bukan Islam di Selangor.

Menurut Khalid, Sultan menitahkan PAS serta Pakatan Rakyat di Selangor supaya memanfaatkan prosedur undang-undang yang ada, sekiranya berhasrat membuat sebarang perubahan. "Tuanku menitahkan kita untuk membuat proposal dan jelaskan mengapa perlu rombakan enakmen-enakmen (berkaitan masyarakat) bukan Islam," jelasnya.

Jelasnya lagi, Sultan tidak gembira dengan perubahan menggunakan pendekatan berceramah. Menjunjung titah Sultan Sharafuddin, beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam bersedia memanjangkan hasrat Tuanku Sultan kepada para pemimpin PAS di peringkat negeri.

Dalam perkembangan yang sama, Khalid menjelaskan bahawa niat bertemu Tuanku Sultan diusahakan sejak November tahun lalu lagi. Kesempatan mengadap Tuanku Sultan pagi tadi, menurut beliau, digunakan untuk menjelaskan beberapa proses pembangunan serta pembaharuan yang dibangunkan di Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid juga dilaporkan membuat penafian kononnya cuba menghina Tuanku Sultan dengan mempertikai penglibatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam suatu demonstrasi berkaitan isu kalimah 'Allah' di perkarangan Masjid Negeri, Shah Alam.

Isnin lalu pula, lebih 16 badan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan membuat aduan polis berhubung isu tersebut. Setelah keluar dari Istana Kayangan kira-kira jam 1 petang tadi, Khalid memberitahu wartawan bahawa beliau begitu menjunjung kasih dengan nasihat-nasihat yang dititahkan oleh Tuanku Sultan.

Blog Ibnu Hasyim: Maka jelas sudah, Mesyuarat Pakar anjuran IKIM tidak berkeputusan 'God bukan Allah' seperti yang dilaporkan media yang dikuasai pemerintah. Bahkan kalimah Allah tidak boleh disalah guna untuk mengelirukan umat Islam. Nampaknya media ini juga terlibat dalam menyalah gunakan 'kalimah Allah itu, awal-awal lagi. (AK)

1 comment:

dusunraja said...

Bagi yang belum faham, dengarkan kuliah Tok Guru disini:

mms://webtv.terengganukini.net/kuliah/2010/100106/100106.wmv

Untuk download :
http://webtv.terengganukini.net/kuliah/2010/100106/100106.wmv

Mengulaslah dengan Ilmu bukan dengan akal dan nafsu..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails