Tuesday, December 22, 2009

Tiada Mesyuarat Pemuda PAS K'tan Seperti Dilaporkan.

Oleh G. Manimaran

Teka-teki Mesyuarat Pemuda PAS Kelantan ‘Terbatal’

PETALING JAYA, Dis 22 — Dewan Pemuda PAS Kelantan sememangnya tidak mengaturkan sebarang mesyuarat ataupun membatalkan pertemuan pada saat-saat akhir bagi mengelak polemic susulan berhubung isu menantu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Ini antara persoalan yang kini timbul di kalangan pemimpin PAS negeri itu dan pusat.

Mesyuarat itu pada awalnya ditetapkan untuk diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Kota Baru petang semalam berhubung pelan Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Mac depan.

"Malam tadi tidak ada mesyuarat," kata ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan Dr Rosli Allani Abd Kader ketika dihubungi The Malaysian Insider lewat malam tadi.

Ketika ditanya sama ada mesyuarat itu dibatalkan ataupun memang tiada mesyuarat dirancang pihaknya, Rosli memberitahu, sebagaimana dilaporkan akhbar sepatutnya ada mesyuarat.

"Seperti akhbar lapor (patut) ada mesyuarat... tetapi mesyuarat tak jadi," katanya ringkas.

Ditanya bila mesyuarat baru akan diadakan, Rosli menambah, "kena tunggu notis, kena tunggu setiausaha (Dewan Pemuda PAS)."

Pagi semalam, Ketua Pemuda PAS Kelantan Abdul Latiff Abdul Rahman ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu pihaknya tidak bertemu sebagaimana dilaporkan bagi “meminta” Ariffahmi melepaskan jawatan itu dengan segera.

"Memang tidak ada mesyuarat... tidak ada mesyuarat mengenai perkara itu. Perkara ini tidak timbul," kata Latiff.

Sehubungan itu Latiff meminta agar media tidak mengeksploitasi isu berkenaan kerana yakin dapat menyelesaikannya dengan baik.

"Saya pasti kemelut itu akan dapat diselesaikan secara baik," kata beliau mengulas kenyataan Rosli Allani kelmarin.

Oleh itu Latiff menganggap isu Ariffahmi, yang juga salah seorang ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kelantan, akan dapat diselesaikan secara dalaman.

Rosli dipetik sebagai berkata Pemuda PAS negeri akan memanggil Ariffahmi bagi kali kedua untuk mendapatkan penjelasan sebenar mengenai pelan letak jawatannya dalam PMBK.

Menurut Rosli, langkah itu diambil bagi memastikan kemelut isu tersebut tidak berlanjutan sehingga boleh menjejaskan tumpuan ke arah pembangunan negeri.

Ariffahmi yang dihubungi pagi semalam juga mengesahkan beliau tidak menerima apa-apa notis berhubung rancangan Dewan Pemuda PAS Kelantan mahu mengadakan mesyuarat petang semalam. (The Malaysian Insider/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails