Monday, August 10, 2009

Pandangan Terbuka Kepada MB Selangor ..


AS-SALAMU 'ALAIKUM.

SAYA dari Blog Ibnu Hasyim adalah sebahagian dari rakyat di negeri Selangor dan negara Malaysia ini. Sebagai rakyat kepada pemimpin yang memimpin rakyat Islam di negeri ini, maka berkewajipan bagi saya meluahkan perasaan insan beragama Islam, dan 'wajib' menegur pimpinan yang menghalang kebebasan umat Islam melaksanakan tugas-tugas Islam dan kemanusiaan dalam negerinya sendiri.

Pertama
:

Saya bersetuju dengan PAS Selangor mendesak kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan seragam sesuai dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama yang berlaku sekarang ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

Saya bersetuju juga dengan gesaan supaya pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini, termasuk mengemukakan deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT (Pihak Berkuasa Tempatan).

Contohnya, peritiwa yang berlaku di peringkat PBT Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 30 Julai 2009 lalu. Berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk perkenalkan peraturan mengawal jualan arak di kawasan masyarakat majoriti penduduk Islam sahaja. TIDAK sama-sekali di kalangan masyarakat bukan Islam.

Tetapi telah dicampuri oleh 'pihak-pihak yang tertentu', mempertikaikan keputusan pihak PBT dan pegawai MBSA melaksanakan tugasnya, yang ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran sepatutnya. Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.

Kedua
:

Melihat kepada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1955, berkuatkuasa sejak 22 November 1996, kerajaan bertanggungjawab memastikan rakyat jelata beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti membabitkan arak, sebagai suatu kesalahan jenayah syariah. Melalui Enakmen ini Seksyen 18 (1) dan (2) disebutkan:

(1) Mana-mana orang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, meminum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan. Dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih 2 tahun atau kedua-dua sekali.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan. Dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih 3 tahun atau kedua-dua sekali.

Apa yang menarik lagi, PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah wajar sesuai dengan kedudukan masing-masing 'untuk membebaskan umat Islam dari arak'. Pihak saya setuju sangat. Kerana hal ini 'wajib' dilakukan secara serius berterusan menurut adab, peraturan atau undang-undang sedia ada, demi keselamatan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam dalam kontek di negeri ini.

Bukan wajib kepada ahli PAS sahaja, bahkan kepada seluruh manusia yang memilih cara hidup Islam, samada PAS, UMNO, PKR, DAP (ahli Islam) dan lain-lain, kecuali kepada yang menolak tidak mahu kepada seluruh cara hidup Islam, yakni bukan Islam. Kepada mereka yang menolak itu tiada apa-apa, tetapi kalau sudah pilih Islam kena ikut semua tuntutannya. Melihat kepada peraturan Islam sendiri, meminum arak atau akohol yang memabukkan merupakan salah atau 'dosa besar', maka ia haram diminum samada banyak atau sedikit, jadi mabuk atau tidak.

Seperti firman Allah SWT..

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Quran Al Maidah: Ayat 90).

Dan Nabi Muhammad SAW pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak melalui sabdanya..

“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan:
(1) yang memerahnya,
(2) yang minta diperahkannya,
(3) yang meminumnya,
(4) yang membawanya,
(5) yang minta dihantarinya,
(6) yang menuangkannya,
(7) yang menjualnya,
(8) yang makan harganya,
(9) yang membelinya,
(10) yang minta dibelikannya.”
(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Ketiga:

Saya juga bersetuju dengan rakan Pakatan Rakyat itu, di mana PAS Selangor dapat mengesan keseluruhan rentetan kes-kes ini adalah berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu. Pimpinan Umno Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti sama-sekali tidak serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.

Keempat:

Oleh itu ada satu lagi masalah, dilihat kepada maksud Ayat Al-Quran dan Hadis Nabi di atas, umat Islam dan kerajaan Selangor kena fikirkan bagaimana untuk membebaskan umat Islam dari arak, terutama kepada mereka yang terlibat bekerja dengan kilang arak. Ada beberapa kilang yang membekalkan arak ke seluruh negara dari Selangor.

Contohnya, Mufti perlu memberi penjelasan dari segi hukum dan hasil yang didapati, kerana sudah ada surau-surau di kilang-kilang tersebut. Bagaimana hendak menangani masalah perkerja yang kalau perlu digantikan dengan pekerja bukan Islam contohnya, ...dan sebagainya lagi. Semuanya ini tidak lepas dari tanggungjawab seorang pemimpin, tidak kira samada pemimpin itu Islam atau tidak.

Akhirnya: Seperti kata seorang Khalifah Islam zaman lampau sewaktu dilantik menjadi pemimpin, '... seketul daging kambing yang jatuh ke dalam sungai pun, aku sebagai Khalifah bertanggungjawab mengetahui atau mennganinya...' Apalagi dalam masalah rezeki, makan minum, hal-haram, berkah dan lain-lain, adalah menjadi kewajipan termasuk pemerintah menanganinya. Allahu Aklam.

Blog Ibnu Hasyim
ibnuhasyim@gmail.com

KL-Ampang Ogos10 2009.


Sila lihat sebelumnya..

1 comment:

mr edz said...

pak hasyim saya sokong.. apa guna jual arak di tempat majoritinya islam.. tak kira la apa parti pun sebagai seorang muslim kita perlu patuh kepada tuntutan syarak..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails