Saturday, August 01, 2009

Kebangkitan Rakyat Menentang ISA.... Sudah 70+!


BERARAK... Kumpulan penyokong anti-ISA kembali berkumpul di hadapan pusat beli belah Kamdar dan berarak menuju ke Jalan Raja Laut.

Himpunan ISA: Hampir 70 penyokong GMI ditahan


LENGANG..Suasana kawasan di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman-Jalan Tun Perak-Jalan Raja Laut lengang kerana polis dan pasukan FRU menutup jalan tersebut sejak awal pagi tadi.

Sabtu Ogos 1, 2009: Gas pemedih mata surai himpunan anti-ISA.


DITAHAN... Seorang wakil Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam, Puspawati Osman, 27, berada dalam kenderaan polis selepas ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi di kawasan Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. --foto mStar Online

Kumpulan demonstrasi berpecah tapi tidak berundur
Harakahdaily

JAM 3 PETANG: Meskipun pihak polis mengerahkan kekuatan maksimum, melalui serangan gas pemedih mata dan pukulan belantan, untuk melumpuhkan semangat peserta himpunan aman, namun ia tidak berjaya mengendurkan semangat orang ramai bagi mendesak ISA dimansuhkan.

Peserta demonstrasi terpaksa mencari perlindungan di sekitar bangunan kedai dan kompleks perniagaan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Beberapa kompleks membeli-belah utama seperti Sogo ditutup sepenuhnya.

Sebelum itu, ketika berucap kepada peserta himpunan, beberapa pimpinan muda Pakatan Rakyat seperti Salahudin Ayub, Tian Chua dan Pengerusi Gerakan Mansuh ISA, Syed Ibrahim Syed Noh mengecam pendekatan keras dan ganas pihak polis yang menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi.

Mereka turut menuntut ISA dimansuhkan segara dan Kem Tahanan Kamunting ditutup. "Rakyat hari ini sudah menunjukkan protes dan amarah mereka terhadap akta yang memakan korban yang tidak berdosa ini," kata Salahudin.

Polis makin ganas tembak gas pemedih mata

JAM 2.45 PETANG: Polis semakin galak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta himpunan Mansuh ISA dekat kompleks beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Keadaan makin tidak terkawal apabila gas pemedih mata itu, yang dilepaskan dengan menggunakan meriam air, secara membabi-buta terhadap kumpulan yang turut ada bersamanya pimpinan utama Pakatan Rakyat, termasuk Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Wartawan Harakahdaily yang membuat liputan di sana turut terkena tembakan gas berkenaan dan ini menyukarkan usaha menyampaikan laporan langsung kepada kami.

Keadaan sama juga berlaku dekat bulatan Bank Negara apabila perarakan kumpulan dari Masjid Negara di sekat situ.

Jumlah peserta himpunan Mansuh ISA capai sasaran

KUALA LUMPUR, 1 Ogos, 2.30 petang (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam ucapannya di depan peserta himpunan aman, dekat perhentian bas di sebelah Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman menggesa kerajaan memansuhkan segera akta zalim ISA.

Beliau menganggarkan jumlah kehadiran demonstrasi yang menggesa ISA dimansuhkan itu sudah mendekati 100,000 orang, angka yang menjadi sasaran pihak penganjur.

"Kehadiran orang ramai pada hari ini, meskipun disekat pihak polis, menjadi saksi bahawa kemarahan rakyat terhadap akta zalim ISA tidak boleh dibendung lagi. Tiada pilihan buat kerajaan BN melainkan memansuhkan segera akta drakonian ini," tegasnya, disambut laungan takbir dan sorakan reformasi.

Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat dijangka akan berucap sama, antaranya Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perarakan ke Dataran Merdeka dan Istana Negara dilihat sudah mengambil jalan alternatif, iaitu melalui Jalan Sultan Ismail, bukan lagi Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kini menjadi medan untuak anggota FRU melepaskan gas pemedih mata

Lintas langsung Perhimpunan Mansuhkan ISA

Harakahdaily

3.00 Petang: Di SOGO, 10 orang ditahan polis, hampir kesemuanya anggota Unit Amal PAS, termasuk ketua Unit Amal PAS Pahang. Peguam PKR Sivarasa Rasiah turut ditangkap polis.

Orang ramai dari Masjid Negara dikepung oleh FRU di bulatan Jalan Parlimen.

Orang ramai kini mula berhimpun di depan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut dan pimpinan PAS memberikan ucapan.

Dataran Merdeka dipenuhi oleh anggota polis dan petugas-petugas media.

2.40 Petang: Di SOGO, orang ramai yang berkumpul di Masjid Jamek kini bergabung dengan orang ramai di depan kompleks Sogo menjadikan jumlah kesemuanya melebihi 50,000 orang. Malah ada menganggarkan kehadiran di semua lokasi memghampiri 100,000 orang. Jalan menghala ke Dataran Merdeka dikepung oleh pasukan polis dan mereka melepas gas pemedih mata.

Orang ramai yang berarak dari Masjid Negara yang ingin ke Dataran Merdeka juga dihalang oleh polis dengan gas pemedih mata.

Orang ramai kini berhimpun di tepi kompleks Pertama. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik dan Dr Syed Azman Syed Ahman Nawawi, Penasihat DAP Lim Kit Siang, pimpinan KeADILan Tian Chua dan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim turut berada di sini.

Polis mula menyerbu dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menghalang orang ramai daripada berarak ke Dataran Merdeka. Orang ramai mula mencari perlindungan di bangunan Sogo dan MARA, sementara pihak polis menambahkan bilangan anggota dan kekuatan mereka. Trak-trak FRU dan trak water cannon berkawal di Stesen LRT Bandaraya.

2.00 tengah hari: Di SOGO, 2 orang lelaki dari parti PKR ditangkap oleh polis kerana memakai lencana Mansuhkan ISA dan ia menimbulkan sedikit kekecohan. Pegawai Khas MB Kedah, Yusrin Zakri Adnan dan bapanya Hj Adnan Din ditahan polis. Orang ramai mula bergerak ke Dataran Merdeka. Kira-kira 5,000 orang bertembung di Jalan TAR dan mula berarak ke Dataran Merdeka.

Di MASJID NEGARA, Ketua Polis Kuala Lumpur memberitahu bahawa setakat ini 157 orang telah ditangkap. Orang ramai mula berarak ke Dataran Merdeka dipimpin oleh Dr Hatta Ramli tetapi diminta bersurai oleh polis. Namun mereka meneruskan perjalanan. Kira-kira 5,000 orang sedak berarak.

Di MASJID JAMEK, orang ramai semakin berkurangan setelah disuraikan oleh pasukan polis. 3 orang lelaki telah ditangkap secara aneh oleh pasukan apabila mereka dikehendaki bergambar bersama T'shirt lambang ISA. Polis membuat benteng dan mengarahkan orang ramai segera beredar. Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Di ISTANA NEGARA, keadaan masih tenang tanpa kehadiran orang ramai. Pasukan polis dengan 4 trak 'Water Cannon' dan 10 trak FRU ditempatkan di sekitar kawasan.

1.30 tengah hari: Di SOGO, 27 orang telah ditangkap polis setakat ini. Semua kedai di kawasan ini dan Sogo sendiri telah ditutup. Polis mengarahkan kira-kira 1,500 orang supaya segera bersurai.

Di MASJID NEGARA, beberapa orang telah ditangkap kerana setelah diperiksa mereka didapati membawa bahan yang ada kaitan dengan ISA seperti topi, lencana dan banner.

Di MASJID JAMEK, orang ramai semakin berkurangan setelah disuraikan oleh pasukan polis. Setakat ini 23 orang telah ditangkap di sini termasuk 2 orang wanita.

Di ISTANA NEGARA, keadaan masih tenang tanpa kehadiran orang ramai. Pasukan polis dengan 4 trak 'Water Cannon' dan 10 trak FRU ditempatkan di sekitar kawasan.

1.00 tengah hari: Di SOGO, orang ramai semakin ramai berhimpun biarpun pasukan polis termasuk unit anjing cuba menghalang mereka berbuat demikian. Helikopter polis berlegar-legar rendah di kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman yang telah ditutup kepada lalu lintas. Aktivis GMI Norlaila Osman dan anak perempuannya Narshita Md Noor, Aiman Athirah Al-Jundi (PAS), Salmah Ismail (PKR), Hayati Abd Samad (PKR) telah ditahan dan dimasukkan ke dalam Black Maria. 8 lelaki turut ditahan dan dimasukkan ke dalam Black Maria.

Di MASJID NEGARA, polis memperketatkan kawalan dan menghalang orang ramai memasuki perkarangan masjid. Petugas-petugas media berkumpul di sini menunggu kehadiran pimpinan pembangkang dan GMI. Hanya beberapa orang awam berkumpul di sini. Orang ramai yang berkumpul di Stesen KTM mula bergerak ke Masjid Negara untuk menunaikan solat zohor. Polis memeriksa beg-beg yang dibawa oleh orang ramai.

Di MASJID JAMEK, 20 orang telah ditahan polis. Orang ramai semakin ramai berhimpun di sini. Polis menghalang orang ramai berkumpul di sekitar Masjid Jamek. Seorang peguam Puspa Rosman ditahan kerana mengedarkan risalah undang-undang kepada orang ramai. Polis memberi arahan kepada orang ramai supaya beredar dalam masa 15 minit.

Di ISTANA NEGARA, keadaan tenang tanpa kehadiran orang ramai. Pasukan polis dengan 4 trak 'Water Cannon' dan 10 trak FRU ditempatkan di sekitar kawasan.

(AK)

1 comment:

Anonymous said...

uabt ddtay Free Porn nvkxua e sb d gdf

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails