Saturday, August 29, 2009

Apa Erti Kepala Lembu Berdarah Di Depan Pagar?


Demontrasi bantah ubah kuil.

KUALA LUMPUR Jumaat Ogos 28, 2009 : BERNAMA melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk menyiasat satu insiden di Shah Alam hari ini mengenai penggunaan kepala lembu oleh sekumpulan penunjuk perasaan untuk melahirkan kemarahan terhadap Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu di Shah Alam, Malaysiakini mendedahkan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka. Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut di Shah Alam, selepas solat Jumaat tadi.
Mereka berarak sebagai menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.
Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22". "Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.

Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut. Selepas kepala haiwan itu diletakkan di depan pintu, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas, tetapi berapi-api.
"Ini amaran. Pindahkan kuil dari Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."

Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam. "Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab (berdemonstrasi), tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan (tidak peduli) penduduk di Seksyen 23."

Dihubungi Malaysiakini selepas demonstrasi itu, Mahyuddin menafikan kepala lembu itu dibawa oleh penganjur. "Bukan kehendak kita. Kita pun terkejut tadi," katanya. Mahyuddin menolak tanggapan mereka ingin menghina agama Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci.

"Mungkin yang mereka (yang bawa) maksudkan dengan kebodohan. Dalam budaya Melayu, lembu ini simbol kebodohan, pemimpin yang bodoh," jelasnya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pula mengecam tindakan pihak yang menconteng dinding dan saluran paip dengan perkataan ‘Khalid Rodziah Pengkhianat Bangsa’ di sekitar kawasan pejabat Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail di Seksyen 23, semalam.“Kalau UMNO tahu malu, basuh sendiri dinding yang diconteng,” demikian kata Khalid seperti yang tercatat di blognya.


Menurut beliau, ini menunjukkan sikap yang tidak menghormati undang-undang, menghormati hak orang lain malah perbuatan tersebut menzahirkan kebodohan serta keburukan keperibadian pemimpin UMNO di bahagian Shah Alam. Beliau percaya UMNO adalah dalang utama dalam kegiatan ini walaupun ada juga orang Pas yang terbabit kerana diapi-apikan UMNO.

“Walaupun mereka (UMNO) menafikan tetapi saya tahu ini kerja mereka. Ini semua permainan politik UMNO. Kalau mereka memahami soal undang-undang, sistem demokrasi dan sebagainya mereka tidak akan bertindak sedemikian. Saya juga meminta MBSA dan PKNS biarkan sahaja tulisan itu di situ kerana kita tidak ada masa untuk membuang dan membersihkan kerja bodoh yang dilakukan mereka,” katanya.

Difahamkan contengan itu berikutan penduduk yang tidak berpuas hati dengan isu pembinaan kuil di Seksyen 23. Bagaimanapun katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Seksyen 23 untuk membincangkan isu ini yang dijangka diadakan pada 7 September di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kalau tidak silap saya surat jemputan akan diedarkan oleh pihak MBSA di mana kita akan bertemu dan berbincang bersama. Penduduk tidak akan diketepikan dalam hal ini. Kedudukan kuil itu yang dicadangkan bagi pandangan saya cukup munasabah. Kita ingin bertemu dengan penduduk untuk menjelaskan bahawa kita akan berusaha menentukan sekiranya dibina di situ ia tidak akan mengganggu mereka dan tidak akan menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau juga memohon dan merayu supaya penduduk bersikap terbuka dan mendengar segala penjelasan sebelum membuat keputusan. Kata Khalid, kuil yang hendak dibina ini akan memenuhi keperluan penduduk kaum Hindu di Seksyen 19, 20 dan 23 yang dianggarkan melebihi 1,000 orang. Katanya, isu tersebut telah dipolitikkan UMNO yang bersikap baling batu sembunyi tangan pada hal semua orang sudah tahu siapa yang bertanggungjawab.


Komen Blog Ibnu Hasyim: Kalau benar kata Khalid Samad, nampaknya UMNO sudah menampakkan tembelang perkaumannya. Orang-orang bukan Islam kena sedar hal ini. Bagi PAS, bukan begini caranya untuk menjaga maruah agama. (AK)

1 comment:

mr edz said...

macam team 3 line jer

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails