Antara pasangan yang ditangkap khalwat di hotel bajet di Jalan Tiong Nam, awal pagi semalam.
Wang RM 15,000 yang ditemui dalam beg milik seorang pemuda.
Penguat kuasa Jawi memeriksa dokumen mereka yang ditahan ketika serbuan di sebuah hotel di Jalan Tiong Nam, semalam.
Wanita hamil lapan bulan antara yang ditahan.
KUALA LUMPUR - “Jangan ambil wang itu, takut hilang. Saya sudah kumpul
lama untuk beli rumah,” kata seorang lelaki selepas pihak Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menemui wang RM15,000 ketika
pemeriksaan dilakukan di bilik sebuah hotel, di sini, semalam.
Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan bersama pasangannya, seorang remaja
berusia 16 tahun antara 10 pasangan yang ditahan sempena pada malam
sambutan Hari Kekasih.
Ketika disoal penguat kuasa, lelaki dari Kuala Lumpur itu berkali-kali
memberitahu wang itu adalah untuk membayar pendahuluan pembelian rumah
yang disimpan hasil perniagaan yang diusahakan.
Sementara itu, sepasang pelajar berusia 17 tahun yang cuba menipu pihak
berkuasa kononnya mereka adik-beradik, ditahan kerana disyaki
berkhalwat, di bilik sebuah hotel. Apabila diberitahu pegawai penguat kuasa bahawa kes mereka akan
dimaklumkan kepada ibu bapa mereka, mereka menangis dan minta
dilepaskan.
Datuk dicekup dengan janda
Dalam operasi sama juga, seorang ahli perniagaan berpangkat datuk
ditahan bersama seorang janda di sebuah bilik di hotel bajet di Jalan
Tiong Nam, awal pagi semalam. Datuk yang berumur 60 tahun berada dalam bilik bersama wanita berusia
29 tahun apabila pihak penguat kuasa mengetuk pintu bilik.
Setelah pintu dibuka selepas diketuk kira-kira 15 minit, datuk itu
didapati dalam keadaan separuh bogel, sementara wanita itu berkemban. Janda itu difahamkan memberitahu pihak penguat kuasa bahawa dia susah dan sedar apa yang dilakukan adalah satu kesalahan. Datuk itu pula mengaku tiada pertalian sah dengan wanita berkenaan.
Pihak penguat kuasa juga menahan seorang wanita hamil lapan bulan dan seorang lelaki yang disyaki berkhalwat.
Jumlah tangkapan menurun
Jawi menyifatkan jumlah tangkapan khalwat yang rendah pada malam
sambutan Hari Kekasih semalam membuktikan umat Islam di negara mempunyai
kesedaran untuk tidak terlibat dalam gejala kemaksiatan. Pegawai Penguat Kuasa Kanan Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan
Umar berkata, operasi di lapan hotel murah sekitar Kuala Lumpur dan
Tasik Titiwangsa mencatatkan penahanan paling sedikit, iaitu sebanyak 10
pasangan.
“Tangkapan ini adalah melalui operasi pihak kami secara berterusan di kawasan Kuala Lumpur.
“Ini tangkapan paling kecil bilangannya dan ia menunjukkan penurunan
daripada tangkapan pada tahun sebelumnya,” katanya di pejabat Jawi,
semalam.
Menurutnya, pasangan yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun itu turut
menerima tiga surat perintah hadir di bawah Akta Kesalahan Jenayah
Syariah 1997 yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit
kesalahan.(SH)