Friday, February 15, 2013

Kumpulan Waris Raja Sulu Filipina Ceroboh Sabah


KOTA KINABALU - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di persisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.

Beliau berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

"Kita telah hantar pasukan untuk berunding dengan mereka dan perbincangan berjalan baik dan kita beritahu mereka bahawa mereka kena tinggal (Sabah) secara baik dan kita tidak mahu apa-apa keadaan yang boleh menggugatkan keselamatan rakyat di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Ismail berkata kumpulan itu yang kini berada di Kampung Tandau, Labian di Lahad Datu memberi jaminan akan meninggalkan tempat itu (Sabah) secepat mungkin dengan syarat tuntutan mereka dipenuhi. Beliau berharap anggota kumpulan berkenaan akan meninggalkan negeri ini secepat mungkin dan menegaskan tuntutan seharusnya dibuat secara diplomatik, bukan secara mengejut seperti yang dilakukan itu.

"Kita lihat perbincangan dalam keadaan terkawal dan pasukan keselamatan telah mengambil tindakan awal dengan mengepung kampung itu sejak semalam dan saya percaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengganggarkan kumpulan itu melebihi 100 orang dan tidak menolak kemungkinan mereka bersenjata, namun demikian polis mengambil pendekatan 'berhati-hati' bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Setakat ini keadaan tidak tegang dan mereka kelihatan berkelakuan baik. Kita percaya kumpulan itu mempunyai sahabat di kampung itu tetapi tidak mempunyai rumah di situ. Mereka pergi duduk di surau dan menumpang rumah-rumah di kampung," katanya sambil menambah kumpulan itu tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kumpulan militan di Filipina.

Pada peringkat ini, katanya, rundingan sedang berjalan dan beliau menasihati penduduk di sekitar Lahad Datu supaya tidak percaya pada khabar angin. Beliau turut memberi jaminan bahawa keadaan adalah baik serta selamat dan polis Sabah akan melakukan yang terbaik untuk menangani kemelut itu segera.
Katanya kumpulan itu difahamkan menggunakan bot pancung dan pihaknya akan menyiasat bagaimana mereka berjaya memasuki negara ini. - Bernama

4 comments:

Anonymous said...

penceroboh warga asing berani masuk kerana undang2 malaysia lemah, kalu masuk Thailand dah lama mampos

Anonymous said...

Bro/Sis, kalau u rase undang2 thailand lebih bagus, pegi kln mintak tukar kerakyatan la.... org macam ni takde semangat kenegaraan langsung..... puih!!!

Anonymous said...

berbanggalah dgn tanah tumpah darah. . .
berilah komen yg membina dan bukan KECAMAN.
:-) SAYA BANGGA JD ANAK M'SIA

Anonymous said...

Sultan Sulu dan sultan moro, dibawah kerajaan Philipina, sepatutnya tuntut pulau Mindanao seperti Singapura tuntut keluar Msia. Spt juga Timor Leste, keluar dari Indonesia. kemudian majukan negeri sendiri.Rakyat di negara mereka tak terurus, nak ambil negara org pula. Jangan tamak haloba ,tak ada faedah.Kerajaan Philipina (kristian disokong Amerika dan Barat )suka org islam terkorban, kuranglah penentangan terhadap kerajaan mereka.cth: Hamas dan Hizbullah bercakar, Israel tepuk tangan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails