Sunday, February 12, 2023

M'sia mampu milik, tapi... Dera amah. Turkiye, arkitek lari..

 


1. Rumah Mampu Milik di Malaysia masih belum mampu dimiliki 

ISU terbesar yang menjadi kerisauan di Malaysia adalah harga rumah di Malaysia sangat tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat di kebanyakan negeri.

Berdasarkan laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2021, nisbah harga rumah kepada pendapatan di Malaysia ialah 4.7 dengan median harga rumah pada tahun 2020 ialah RM295,000 manakala median pendapatan tahunan rakyat Malaysia pada tahun 2020 ialah RM62,508. 

Pendapatan yang tidak mencukupi dan tahap hutang rakyat Malaysia yang tinggi adalah dua punca yang menyumbang kepada faktor ketidakmampuan memiliki rumah.

Faktor tersebut terjadi apabila harga rumah meningkat lebih cepat daripada pendapatan. Daripada tahun 2014 sehingga 2020, pendapatan meningkat hanya pada kadar 2.1 peratus berbanding harga rumah pada kadar 4.1 peratus.

65 peratus bakal peminjam pula sudah mempunyai hutang yang sangat banyak apabila mengambil pinjaman kereta atau pinjaman peribadi kemudian mengehadkan kemampuan mereka untuk membuat pinjaman baru untuk membeli rumah.

Bekalan rumah mampu milik juga tidak mencukupi. Jika rumah mampu milik adalah di bawah harga RM300,000 satu isi rumah itu perlu memiliki pendapatan sekitar RM100,000 setahun atau RM8,333 sebulan.

Hanya ada 36 peratus unit perumahan yang dilancarkan setakat tahun 2021 berharga RM300,000 ke bawah sedangkan 76 peratus isi rumah di Malaysia memiliki pendapatan RM8,333 ke bawah.

Membawa masuk pakar HDB dari Singapura untuk menasihati KPKT bukan penyelesaian utama daripada masalah utama yang berlaku di Malaysia.

“Tiada keperluan untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapatkan kepakaran HDB. Keperluan yang ada sekarang adalah untuk atasi masalah perumahan di bandar yang padat seperti di Lembah Klang.” – Fahmi Bahrudin, penyelidik Institut IRIS. 

Kerajaan perlu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berpijak di bumi nyata Malaysia. Nasihat orang luar yang tidak kena pada konteks rakyat Malaysia mungkin akan membawa lebih banyak parah dari ubat kepada masalah di Malaysia.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/2/2023


2. Amah mangsa dera di Hong Kong menang pampasan RM476,000 

Penderaan dilakukan terhadap Kartika Puspitasari menjadi tajuk utama berita sejak sedekad lalu dan mencetuskan gesaan untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada pekerja asing wanita. -Gambar hiasan

HONG KONG: Seorang pembantu rumah Indonesia yang dipukul dan dibakar oleh bekas majikan di Hong Kong telah diberikan ganti rugi lebih AS$110,000 (RM476,000) pada Jumaat.
Penderaan dilakukan terhadap Kartika Puspitasari,40, menjadi tajuk utama berita sejak sedekad lalu dan mencetuskan gesaan untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada pekerja asing wanita yang datang ke Hong Kong untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
Majikannya didapati bersalah dan dipenjarakan pada 2013 selepas perbicaraan mahkamah mendapati Kartika dibakar dengan seterika, dipukul dengan rantai basikal dan menyerangnya dengan pemotong kertas sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan trauma.
Amah tersebut didera selama dua tahun dan diberikan layanan buruk oleh majikannya dan rahsia itu terbongkar selepas dia mendapatkan perlindungan konsular.
Kartika kembali ke Indonesia pada 2014 tanpa dibayar gaji oleh majikannya. Pada Jumaat, seorang hakim memutuskan bahawa Kartika telah dilayan secara tidak berperikemanusiaan dan memberi ganti rugi HK$868,607.
Sementera itu di rumahnya, Kartika berkongsi berita gembira dengan suami dan tiga anaknya di Padang, Pulau Sumatera sambil menitiskan air mata selepas menerima berita menerusi panggilan video.
"Saya menunggu selama 10 tahun dan akhirnya doa saya dimakbulkan," katanya yang turut berterima kasih kepada peguam dan rakan-rakannya.
Bagaimanapun, Kartika didiagnosis dengan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) menambah wang itu tidak setanding kecederaan fizikal dan mental yang dialaminya. -Sinar Harian
3. Gempa bumi Turkiye: Arkitek ditahan cuba larikan diri selepas apartmen mewah runtuh 
Ronesans Residence, sebuah blok apartmen mewah di bandar Antakya, tumbang dalam insiden gempa pada Isnin sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial. -Gambar fail/Reuters
ISTANBUL: Polis Turkiye pada Jumaat menahan seorang arkitek selepas apartmen mewah yang dibinanya runtuh dalam gempa bumi kuat Isnin lalu.
Mehmet Yasar Coskun ditahan di lapangan terbang Istanbul ketika cuba melarikan diri dari negara itu ke Montenegro, lapor agensi berita negara Anadolu.
Dia juga didakwa membawa wang yang tidak diketahui jumlahnya ketika ditahan.
Ronesans Residence, sebuah blok apartmen mewah di bandar Antakya, tumbang dalam insiden gempa pada Isnin sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial.
Ia merupakan antara apartmen paling eksklusif di pusat Antakya, menampilkan blok 12 tingkat seluas 10,500 meter persegi, dilengkapi 249 unit pangsapuri dengan antara dua dan lima bilik tidur setiap satu, kolam renang, gelanggang sukan, dan khidmat penyambut tetamu.
Ia turut diiklankan sebagai bangunan yang dibuat mengikut "standard pembinaan tertinggi."
Dianggarkan 1,000 penghuni mendiami apartmen itu ketika ia tumbang. Kebanyakannya masih terperangkap di bawah runtuhan gempa bumi yang kini telah menyebabkan lebih 23,000 maut. 
Media Turkiye melaporkan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan blok dan usaha menyelamat masih diteruskan.
Bekas pemain bola sepak antarabangsa Ghana, Christian Atsu, bersama pengarah sukan kelab Hatayspor, Taner Savut dipercayai antara mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan blok bangunan 12 tingkat itu.
Turkiye memperkenalkan peraturan bangunan yang lebih ketat pada 2013 selepas gempa bumi pada 1999 di barat laut Turkiye mengorbankan lebih 17,000 orang.
Gegaran 7.8 magnitud dan gegaran susulan pada Isnin memusnahkan sebahagian besar tenggara Turkiye dan negara jiran Syria, mengorbankan hampir 23,000 orang.
Gempa bumi itu meranapkan ribuan bangunan dan telah mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh Turkiye berhubung kualiti pembinaan yang lemah.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: M'sia mampu milik, tapi... Dera amah. Turkiye, arkitek lari..
Malaysia PM10, sila pantau masalah rakyat kecil, 'Rumah Mampu Milik' yang masih belum mampu dimiliki..
Mengenai 'dera amah' mungkin DAP lebih tahu, kerana pernah ADUNnya di Perak tertuduh rogol amah sendiri.
Sekian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails