Thursday, February 02, 2023

Konsert hiburan lawan syariat tetap diteruskan PM10..

 

Persembahan bertenaga BCL berjaya menggamatkan suasana Dewan Plenari, KLCC. - NSTP/Hazreen Mohamad

HALAMAN HIBURAN

1. BCL 'lemas' dalam emosi pada konsert di KLCC

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari bergelut dengan perasaan sedih dan rindu ketika menjayakan konsert BCL Blossom Intimate Concert di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jumaat lalu.

Biarpun kelihatan riang pada awalnya, Bunga tidak dapat menahan air mata saat terkenangkan arwah suami yang juga pelakon kelahiran Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Kemunculan semula penyanyi berusia 39 tahun itu ke bumi Malaysia akhirnya menjentik setiap memori percintaan yang dibina bersama Allahyarham Ashraf.

Bagaimanapun, Bunga atau lebih mesra disapa BCL tetap meneruskan persembahan dengan lebih 20 lagu di hadapan lebih 2,500 penonton pada malam itu.

Pada konsert berkenaan, BCL turut berkongsi fasa perjalanan kehidupan sebelum dan selepas pemergian arwah suami tercinta.

Tampil megah di atas pentas dengan mengenakan gaun putih tepat jam 9 malam, Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL menyuntik semangat penonton dengan dendangan lagu Sunny yang dipetik album Cinta Pertama terbitan 2006.

Persembahan pembukaan penuh bertenaga itu berjaya menggamatkan suasana Dewan Plenari, KLCC, malah BCL mengambil masa menyampaikan ucapan penghargaan kepada penonton.

BCL menjelaskan penganjuran konsert kali ini adalah berkonsepkan penceritaan kisah hidupnya baik dalam percintaan mahupun karier nyanyian.

"Saya sudah berasakan kepedihan yang teramat dalam, jadi lagu-lagu yang akan disampaikan ini adalah kisah hidup saya.

"Segala kisah hidup saya dituangkan dalam lagu yang akan disampaikan," katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Aku Tak Mau Sendiri, Saat Kau Pergi dan Kecewa.

Tidak lama selepas itu, BCL menjemput masuk anak didiknya yang juga pemenang tempat ketiga program realiti, X Factor Indonesia 2021, Danar Widianto.

Mereka saling berpadu suara menerusi lagu ciptaan Danar, iaitu Dulu dan diikuti dengan Pernah Muda petikan album BCL pada 2008 iaitu Tentang Kamu.

BCL menutup tirai persembahan segmen pertama dengan lagu Ingkar yang pernah dipopularkan pada 2006.

Memasuki persembahan segmen kedua, BCL tampil dengan untaian lagu yang lebih menyentuh jiwa dan emosi penonton.

Lebih lagi, segmen itu juga adalah penghormatan buat suaminya, Allahyarham Ashraf yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung. 

BCL menampilkan konsert adalah berkonsepkan penceritaan kisah hidupnya baik dalam percintaan mahupun karier nyanyian. - NSTP/Hazreen Mohamad

BCL yang juga pelakon filem Habibie dan Ainun itu menyanyikan lagu Love Story, Tentang Kamu, Wanita Terbahagia, 12 Tahun Terindah dan Cinta Sejati.

Persembahan yang disertakan dengan paparan koleksi foto BCL bersama Allahyarham Ashraf itu turut membuatkan penonton sebak sehingga ada yang menitiskan air mata.

"Saya berasa sudah banyak diberi bahagia, jadi ini adalah momen untuk saya belajar lagi. Apa saya lakukan adalah berusaha menerima kenyataan.

"Tidak hanya saya sahaja yang mengalami kesusahan dalam hidup. Selepas beberapa bulan saya baru terima bahawa hal ini adalah nyata," kata BCL dalam nada sebak.

BCL kembali merancakkan suasana apabila mengambil peluang menyanyikan lagu daripada Datuk Sheila Majid berjudul Legenda sebelum mengakhiri persembahan segmen kedua dengan Cinta Sejati.

Persembahan terus meriah sebaik sahaja memasuki segmen terakhir yang menyaksikan BCL bermula dengan dua lagu rancak, iaitu Jangan Gila dan Aku Wanita.

Pada masa sama, penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia itu memperkenalkan lagu baharu berjudul Badai Telah Berlalu. Apa yang menarik, lagu itu diperdengarkan secara langsung buat kali pertama.

Kemeriahan konsert berterusan apabila BCL menyanyikan lagu duetnya bersama vokalis kumpulan Noah, Ariel iaitu Menghapus Jejakmu.

Biarpun Ariel tidak bersama dan hanya dipaparkan video nyanyiannya sahaja, segmen itu tetap menceriakan keseluruhan penonton.

BCL turut berduet dengan penyanyi baharu bernama Ray menerusi lagu Aku Dan Dirimu.

Penonton diberi kejutan pada persembahan penutup dengan menampilkan anak lelaki BCL, Noah Aidan Sinclair menerusi lagu Dance Tonight.

Pada persembahan itu, Noah memukau penonton dengan nyanyian rap dan kelincahannya menari di atas pentas sebelum mengundang sorakan gemuruh penonton.


2. ISLAM DAN MUZIK: BAYAN LINNAS SIRI KE-197

ISLAM DAN MUZIK

Mukadimah

Islam merupakan sebuah agama pertengahan yang amat menekankan aspek spiritualiti dan pembangunan rohani, tapi pada masa sama turut membenarkan penganutnya berhibur dan berseronok, selagi mana ia tidak melampaui batas-batas syarak. Keinginan untuk berhibur dan kecintaan kepada kecantikan serta keindahan merupakan fitrah insani yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Terdapat satu hadith berkenaan salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Hanzalah RA yang merasa takut dirinya telah menjadi munafiq, kerana beliau merasa lalai daripada mengingati Allah SWT dengan berhibur bersama keluarga beliau, setelah sebelumnya bermuhasabah dalam majlis bersama Nabi SAW. Baginda SAW bersabda:

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ

MaksudnyaWahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.

Sahih Muslim (2750)

Imam Nawawi sewaktu mentafsirkan hadith ini yang turut diriwayatkan dengan lafaz berbeza dalam Sahih Muslim, beliau menjelaskan bahawa kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Kerana itu apabila Hanzalah merasa risau dirinya telah munafiq kerana ‘lalai’ daripada mengingati Allah SWT, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 17/66)

Terdapat juga athar daripada Ibn Shihab yang berkata:

رَوِّحُوا الْقُلُوبَ سَاعَةً وَسَاعَةً

MaksudnyaRehatkan hati-hati kalian, ada masa untuk urusan dunia, ada masa untuk urusan akhirat. (Lihat Ibn ‘Abdil Barr, Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhlihi, 1/434 dan Al-Maqasid al-Hasanah fima Isytahara ‘ala al-Alsinah, hal. 372)

Prinsip Halal dan Haram dalam Islam

Kami nukilkan di sini prinsip-prinsip Islam berkenaan halal dan haram daripada karya Dr Yusuf al-Qaradhawi, antara lain beliau menyebut:

  • Hukum asal sesuatu ialah harus (dibolehkan).
  • Kuasa halal dan haram adalah hak Allah SWT semata-mata.
  • Mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, sama dengan syirik kepada Allah SWT.
  • Pengharaman itu adalah disebabkan oleh kotor dan mudarat.
  • Dengan perkara halal, seseorang tidak perlu lagi kepada yang haram.
  • Apa yang membawa kepada perkara yang haram, hukumnya haram.
  • Haram membuat tipu helah untuk perkara yang haram.
  • Niat yang baik tidak boleh menghalalkan yang haram.
  • Memelihara diri dari perkara yang syubhah, iaitu yang samar-samar.
  • Sesuatu yang haram itu tetap haram untuk semua.
  • Darurat mengharuskan sesuatu yang dilarang. (Rujuk Halal dan Haram dalam Islam, hal. 5-38)

Nu’man bin Basyir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ

MaksudnyaSesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar (syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh sekian ramai manusia. Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya.

Sahih Muslim (1599)

Hadith ini menjelaskan bahawa daerah dan ruang lingkup perkara yang halal adalah sangat luas. Bahkan, ia lebih luas daripada daerah perkara yang haram. Hal ini dapat difahami daripada perumpamaan Rasulullah SAW yang membandingkan perkara haram seumpama kawasan larangan. Oleh itu, selain kawasan larangan tersebut ialah kawasan halal. Demikianlah betapa besar dan luasnya daerah perkara halal berbanding perkara haram.

 

Maksud Muzik Dan Nyanyian

Kami mulakan perbahasan muzik dan nyanyian ini dengan mengemukakan takrif dan definisi bagi istilah-istilah berkenaan muzik dan nyanyian yang sering digunakan dalam hadith dan juga oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.

  • Al-Ma’azif (مَعَازِفُ) merupakan kata jamak kepada مِعْزَفَةُ , yang bermaksud alat muzik. Ia turut dikenali sebagai الملاهي yang memberi maksud yang sama. (Rujuk Fath al-Bari, 10/55). Ibn Manzur dan Taj al-‘Arus menyebut: Al-Ma’azif ialah al-Malahi. Mufradnya ialah mi’zaf (مِعْزَف) dan mi’zafah (مِعْزَفَة) (Rujuk Lisan al-‘Arab, 9/244 dan Taj al-'Arus min Jawahir al-Qamus, 24/155 dan Mukhtar al-Sihah, hlm. 467)
  • Ibn al-Qayyim pula menyatakan: al-ma’azif adalah seluruh alat muzik atau permainan, dan ini tidak diperselisihkan lagi oleh ahli-ahli bahasa. (Lihat Ighathah al-Lahfan, 1/260)
  • Imam al-Zahabi pula berkata: al-ma’azif mencakupi seluruh alat muzik ataupun permainan yang digunakan bagi tujuan mengiringi sesebuah lagu atau sya’ir. (Lihat al-Siyar, 21/158 dan al-Tazkirah, 2/1337)
  • Imam al-Qahustani mentakrifkan kalimah al-Ghina’ (الْغِنَاءَ ) sebagai pengulangan suara beserta melodi dan intonasi dalam bersyair dan kombinasi tepukan tangan. (Rujuk Radd al-Mukhtar 6/349)
  • Menurut Ibn Khaldun, al-ghina’ merujuk kepada seni komposisi suara dengan kaedah menyusun suara mengikat nada yang tersusun. (Rujuk Tarikh Ibn Khaldun 1/534)
  • Bagi kalimah al-lahwu pula, Ibn Manzur mentakrifkannya sebagai sesuatu yang dijadikan alat atau wasilah , dan alat-alat muzik (al-malahi / الملاهي) pula termasuk di bawah kategori al-lahwu(Rujuk Lisan al-Arab 15/278)
  • Menurut Imam al-Qurtubi, al-ghina’ dari segi bahasa adalah meninggikan suara ketika bersyair atau yang semisal dengannya (seperti rajaz secara khusus). (Rujuk Kasyf al-Qina’47)

Antara nama-nama alat muzik yang disebut dalam hadith dan kitab para ulama’ ialah:

  • Al-Thunbur (sejenis alat muzik bertali seperti gambus)
  • At-Thabl (drum)
  • Al-Mizmar (seruling)
  • Al-Autar (gitar)
  • Al-‘Uud (sejenis alat muzik bertali seperti gambus)
  • Al-Duff (gendang)

Asalnya, perkataan muzik berasal daripada bahasa Greek, iaitu ‘muisike’ atau ‘mousa’. Ia juga dikatakan berasal daripada musica yang merangkumi seni muzik yang berbeza-beza dan alat-alat muzik seperti seruling, biola, gendang, dulcimer, kecapi, mandolin, simbal dan sebagainya. [1]

Dari sudut perspektif moden, muzik sepertimana yang disebut dalam Cambridge Dictionary ditakrifkan sebagai: “pattern of sounds made by musical instruments, voices, or computers, or a combination of these, intended to give pleasure to people listening to it” yang bermaksud bunyi yang terhasil daripada alatan muzik, suara, komputer, atau gabungan kesemua ini yang bertujuan memberikan ketenangan kepada pendengar.[2] Menurut Kamus Dewan pula, muzik bermaksud gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan atau bunyi-bunyian yang terhasil daripada alatan.

PANDANGAN ULAMA BESERTA DALIL

  1. Fatwa yang mengharamkan muzik dan nyanyian.

Jumhur ulama dan fuqaha’ mengharamkan alat muzik. Cuma ada sebahagian mereka yang mengharuskan alat muzik tertentu dalam keadaan tertentu. Kami nukilkan di bawah antara pandangan-pandangan mereka:

  • Imam Malik pernah ditanya akan muzik dan nyanyian, dan beliau berkata hanya orang fasiq yang terlibat dengan aktiviti seumpama ini. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 14/55)
  • Menurut Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah pula, mendengar nyanyian (atau alat muzik) menimbulkan mudarat yang dahsyat terhadap agama seseorang, tidak ada cara lain selain dengan menutup jalan agar tidak mendengarnya. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, 11/567) Beliau turut menambah, tidak harus menghasilkan alat-alat muzik, dan boleh untuk dihancurkannya disisi majoriti fuqaha; bahkan beliau menyebut bahawa alat-alat muzik merupakan arak kepada jiwa-jiwa manusia (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, 22/140 dan 10/417)
  • Menurut Imam al-Nawawi, para ulama bersepakat atas haramnya upah yang diperoleh oleh penyanyi dalam aktiviti nyanyian. Ini juga pandangan Ibn Abidin dalam hasyiah beliau (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 10/231 dan Radd Al-Mukhtar ‘ala Ad-Dur Al-Mukhtar, 6/424)
  • Imam Ibn Hajar al-Haitami pula setelah beliau menukilkan ijmak akan pengharaman alat muzik, telah menyatakan bahawa sesiapa yang menyatakan bahawa ada khilaf dalam isu ini, dia telah melakukan kesilapan atau dikuasai hawa nafsu, hingga ia memekakkannya dan membutakannya (daripada mendengar dan melihat kebenaran). (Rujuk Kaff al-Ri’aa, hal. 118)
  • Kata Ibn Qudamah, barangsiapa yang menjadikan muzik sebagai satu pekerjaan, atau mengambil kanak-kanak dan hamba untuk menyanyi dan dihadiri oleh orang ramai, maka orang seperti itu tidak diterima kesaksian daripadanya. Ini kerana muzik di sisi mereka yang tidak mengharamkannya, merupakan satu kebodohan, kerendahan dan menjatuhkan maruah. Manakala di sisi mereka yang mengharamkan muzik, ia merupakan satu dosa dan pelakunya dikira menzahirkan kemaksiatan dan kefasikan. (Rujuk Al-Mughni, 10/156)
  • Bahkan disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini, bahawa merosakkan thunbur wajib dikenakan ganti rugi kerana ia merupakan alat yang membawa kepada maksiat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 5/469)
  • Imam al-Qurthubi juga meriwayatkan pandangan al-Qaffal, bahawa tidak diterima penyaksian penyanyi dan penari. Tambah al-Qurthubi, oleh kerana itu, mengambil upah dan pendapatan daripada aktiviti nyanyian dan tarian juga tidak diharuskan. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 14/56)
Ikuti sambungan seterusnya dalam..

ISLAM DAN MUZIK: BAYAN LINNAS SIRI KE-197..

3 comments:

Anonymous said...

Hebat sangat sangat ker nurul ijah ni. Dah tewas pun masih dilantik. Jadi penasihat.

Ini bukan ikut lazim politik.

Dalam politik yang bersih, tewas bererti kelemahan calon. Calon itu ditolak kerana tidak menepati ciri yang dikehendaki oleh pengundi. Kerana itu ditolak. Maka dipilih calon yang menepati ciri ciri kehendak pengundi.

Ini satu lagi politik luar tabii. Melantik calon tewas mengisi jawatan yang berkaitan politik. Sungguh nista. Menafikan hak pengundi.

Lebih menjijikkan ialah perlantikan itu kerana ada pertalian sangat rapat. Ayah dan anak. Si ayah menyalahgunakan kuasa politik. Si ayah menyalahgunakan kuasa untuk survival politik si anak.

Pastinya akan berlaku kerosakan dan kecelaan dasar dan perlaksanaan. Termasuk politik balas dendam.

Anonymous said...

Dalam ph x da yg suci ker. Terpaksa ambik anak sendiri yang liberal.

Anonymous said...

liberal liberal dia takde pulak cita cita nak buka kelab malam. nama pulak priest siap pakai rantai lepas tu acah bawa buku macam bible. yang tu tak liberal lagi agaknya.. best oo duk dalam kelab malam. oo mungkin kelab malam nasyid agaknya.. yang ni mung kena sokong 100%

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails