Thursday, February 10, 2022

RM79,000: Jangan terbabit aktiviti hiburan melanggar SOP.

 

Polis menyerbu pusat hiburan di Jalan Telawi 2, Bangsar, di Kuala Lumpur, semalam, kerana disyaki melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. - Foto PDRM

Pemilik, pelanggan pusat hiburan dikompaun RM79,000

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan kompaun bernilai RM79,000 kepada pelanggan dan pemilik pusat hiburan di Jalan Telawi 2, Bangsar, di sini, semalam, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam operasi jam 11.30 malam itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada setiap 78 pelanggan dan seorang pemilik premis berusia 38 tahun kerana melanggar SOP itu serta menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata turut dirampas, beberapa resit jualan, komputer riba, aksesori muzik, alat pembesar suara dan mikrofon bagi membantu siasatan.

Pemeriksaan ujian air kencing terhadap semua pengunjung pula mendapati dua daripada mereka positif dadah sebelum suspek dibawa ke IPD Brickfields untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika pemeriksaan, seorang pelanggan mengingkari arahan dan enggan memberi kerjasama kepada polis serta cuba melepaskan diri.

"Suspek berkenaan ditahan atas kesalahan menghalang penjawat awam mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952 dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) PPN 2021.

Amihizam berkata, pihaknya kekal fokus bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

"Orang ramai dinasihatkan tidak terbabit aktiviti hiburan yang melanggar SOP PPN untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

"Maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails