Friday, February 11, 2022

RM65.5 juta kepada Imam, Bilal, Guru Takmir, Kelas al-Quran & Fardhu Ain T'gnu.

 

K/Persekutuan salurkan lebih RM65.5 juta – Senator Datuk Idris

KUALA NERUS: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM65,580,285.60 kepada Imam, Bilal, Guru Takmir dan Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di seluruh negeri Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melaksanakan beberapa inisiatif berikutan musibah pandemik Covid-19.

Ini kerana, katanya akibat wabak itu sumber pendapatan rakyat semakin terjejas, tekanan emosi dan mental semakin kritikal dalam era pandemik Covid-19.

Menurutnya, tidak terkecuali JAKIM juga sentiasa prihatin dan cakna kepada para Murabbi Ummah yang terjejas pendapatan dan pekerjaan mereka.

“Pertama, pertambahan kuota guru takmir di seluruh negara seramai 1,000 orang menjadikan jumlah keseluruhan pada tahun 2022 ini seramao 5,000 orang.

“Pertambahan kuota ini melibatkan kenaikan jumlah peruntukan sebanyak RM10.8 juta setahun dan menjadikan keseluruhan peruntukan sebanyak RM54 juta.

“Kedua, bayaran khas sebanyak RM500 secara ‘one off’ diteruskan lagi pada tahun 2022 ini kepada Imam, Bilal, Siak dan Guru Takmir negeri Terengganu seramai 2,100 penerima dengan peruntukan RM1.05 juta.

“Ketiga, caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan fi bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) PERKESO juga diteruskan lagi tahun 2022 ini kepada Imam, Bilal dan Guru Takmir negeri ini seramai 2,036 orang, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM473,980.80 setahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Manakala, katanya peruntukan imbuhan imam seramai 1,356 orang itu dengan jumlah sebanyak RM13,831,200.00 dan elaun Guru Takmir seramai 325 orang dengan peruntukan sebanyak RM3,510,000.00 telah disalurkan pada 7 Januari lalu bagi agihan suku pertama tahun ini.

Menurutnya lagi, jumlah keseluruhan peruntukan kewangan bagi Imam, Bilal dan Guru Takmir di negeri ini sebanyak RM18,865,180.80 yang melibatkan seramai 5,817 penerima.

“Kerajaan sangat menghargai sumbangan guru KAFA dalam membentuk generasi dengan menyalurkan bayaran bantuan khas tahun 2022 sebanyak RM1,638,000.00 kepada 3,276 guru KAFA di negeri ini.

“Manakala, jumlah peruntukan elaun guru KAFA bagi negeri Terengganu pada tahun 2022 ini sebanyak RM45,077,104.80 yang melibatkan seramai 3,276 orang,” jelasnya.

Justeru, katanya peranan guru KAFA di negeri ini sebagai Murabbi Ummah tidak dapat dinafikan lagi dalam mendidik kanak-kanak bermula dari peringkat awal. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails