Tuesday, November 23, 2021

RM150 juta tangani banjir di Kuching dan Kota Samarahan

 

KUALA LUMPUR: Projek menangani banjir di kawasan bandaraya Kuching dan Kota Samarahan telah dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) melalui Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PLSB diteruskan dalam RMK12 yang merangkumi sembilan kawasan di bandaraya Kuching dan Kota Samarahan.

Katanya, skop projek di Kuching adalah menaik taraf sistem saliran di Hospital Umum, kuarters Kerajaan Persekutuan dan Jalan Batu Lintang.

“Skop projek di Kuching juga merangkumi Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Gersik dan Sungai Sinjan serta mendalamkan dan melebarkan Sungai Tabuan, Sungai Tengah dan Sungai Minjap, Matang.

“Bagi Kota Samarahan pula ialah projek menaik taraf sistem saliran di Sekolah Kebangsaan Muara Tuang dan di Jalan Kuching Samarahan Expressway,” katanya ketika menjawab soalan lisan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, PLSB Sungai Sarawak ketika ini di peringkat interim reka bentuk terperinci dan deraf akhir reka bentuk terperinci dijadualkan dikemukakan pada Disember ini.

Katanya, jangkaan tender bagi PLSB Sungai Sarawak ialah pada suku pertama tahun hadapan dengan tempoh pembinaan fizikal selama empat tahun.

Sementara itu, beliau bersetuju dengan cadangan Rubiah dalam soalan tambahannya supaya PLSB Sungai Sarawak dilaksanakan dalam dua komponen kerana membabitkan dua kawasan berbeza, iaitu Kuching dan Kota Samarahan.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (Warisan-Papar), katanya antara punca kekerapan banjir kilat sekarang ialah akibat perubahan iklim apabila kawasan yang sebelum ini tidak dilanda banjir kini menghadapi masalah itu.

“Hujan dalam masa singkat, tetapi sangat lebat menyebabkan banjir kilat berlaku bukan hanya di Papar, tetapi kebanyakan kawasan seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/21

1 comment:

Anonymous said...

Tu la nak bagi tau. Undilah pas. No rasuah no kroni.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails