Sunday, November 21, 2021

X kaji kerjaasama PAS-PN. DAP Melaka hambar, pengerusi letak jawatan.

 

1. PAS tidak kaji kerjasama dalam PN

KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada PAS perlu menilai kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam, tidak berbangkit walaupun ia tidak memihak kepada gabungan itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan, berkata kedudukan dan hala tuju PAS bersama PN sudah pun dimuktamadkan parti, namun parti itu berhasrat untuk melebarkan lagi kerjasama dengan parti lain bagi mengukuhkan kedudukan politik umat Islam di negara ini.

Nasrudin berkata, parti itu juga menerima keputusan PRN Melaka dengan terbuka dan berlapang dada, selain akan melihat aspek yang boleh ditambah baik.

"Kedudukan PAS dengan PN adalah sesuatu yang sudah dimuktamadkan, iaitu PAS adalah gabungan dalam PN. Jadi, tidak berbangkit soal untuk merombak kedudukan PAS dalam PN.

"Bagaimanapun, apa yang yang mungkin dilakukan parti adalah melebarkan lagi ruang kerjasama dengan pelbagai pihak kerana PAS adalah sebuah parti yang bergerak bukan hanya untuk kepentingan politik semata-mata tetapi untuk dakwah dan tarbiyah Islam itu sendiri," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau ditanya sama ada PAS akan mengkaji kedudukannya dalam PN, selepas keputusan PRN Melaka semalam.

Barisan Nasional (BN) menang pada PRN itu dan berjaya membentuk kerajaan negeri, selepas memperoleh 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi.

PN hanya memenangi dua kerusi, manakala PAS tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya, manakala PH pula memenangi lima kerusi.

Bagaimanapun, Nasrudin mengakui, usaha untuk memperluas kerjasama itu agak sukar dengan pelbagai kekangan, terutama dengan perkembangan politik semasa.

"Bagaimanapun, usaha ke arah penyatuan ummah menjadi agenda asas dalam perjuangan Islam, yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.

"Tentu saja PAS akan meletakkan Islam sebagai asas penyatuan kita. Kita bukan mengusahakan penyatuan untuk menjadi 'pak turut', mengongkong atau menguasai parti lain, tapi membina bersama kekuatan Islam," katanya.

Berhubung sama ada PAS akan melihat untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Nasrudin berkata, PAS setakat ini tidak merombak hubungannya dalam MN.

Selain itu, beliau memaklumkan, PAS akan mengadakan 'post mortem' bagi melihat secara keseluruhan keputusan PRN Melaka, yang akan diterajui mereka yang berada di luar jentera parti.

"Ini bagi memastikan kita mendapat satu keputusan yang adil dan tepat. Hasilnya nanti, mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita ambil untuk kebaikan parti dan menentukan corak pendekatan parti berikutnya," katanya.


2. Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Tey Kok Kiew meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP negeri berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi hambar parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Keputusan peletakan jawatan itu berikutan empat kerusi yang pernah dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), gagal dipertahankan pada PRN kali ini.

Ia termasuk kerusi yang ditandingi Kok Kiew di Bemban selain Duyong, Gadek dan Machap Jaya.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada semua ahli parti dan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu sekali gus mengakibatkan PH gagal membentuk kerajaan negeri.

"Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baharu, malah lapan kerusi yang kita menangi pada PRU-14 lalu berkurangan kepada empat.

"Keputusan ini (meletak jawatan) adalah keputusan peribadi saya dan saya ingin memohon maaf kepada semua ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami.

"Sebagai ketua (parti) negeri, saya mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan pilihan raya negeri. Saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai ketua DAP negeri, berkuat kuasa serta-merta," katanya dipetik satu portal berita, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata keahliannya dalam DAP masih kekal.

Pada PRN Melaka semalam, DAP gagal mempertahankan kerusi Gadek, Machap Jaya, Bemban, Duyong manakala empat lagi kerusi dimenangi iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.

Kok Kiew yang bertanding di DUN Bemban terpaksa akur apabila hanya memperoleh 3,095 undi pada pertandingan lima penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Yadzil Yaakub yang mendapat 4,211 undi, calon BN, Datuk Koh Chin Han (3,883 undi) dan dua calon Bebas iaitu Azmi Khamis (130 undi) dan Datuk Ng Choon Koon (850 undi).


Lihat..

Siri Kalimantan: Kerjasama M'sia/Indo.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails