Wednesday, April 22, 2020

COVID-19 merebak ke AS lebih awal tapi gagal dikesan

Pekerja berpakaian keselamatan di tanah perkuburan Municipal Cemetery No 13 di Tijuana, California menyembur cecair nyah kuman pada keranda sebelum mengebumikan mayat mangsa COVID-19 yang tidak dituntut. - Foto AFP
Pekerja berpakaian keselamatan di tanah perkuburan Municipal Cemetery No 13 di Tijuana, California menyembur cecair nyah kuman pada keranda sebelum mengebumikan mayat mangsa COVID-19 yang tidak dituntut. - Foto AFP


SAN FRANCISCO: Bedah siasat dua kes kematian di California pada awal dan pertengahan Februari lalu mendapati mangsa maut kerana COVID-19, beberapa minggu sebelum Amerika Syarikat (AS) sahkan kematian pertama secara rasmi.
Laporan bedah siasat ke atas dua individu yang meninggal dunia di rumah pada 6 dan 17 Februari lalu menunjukkan mereka positif dijangkiti coronavirus itu.
Perkara itu disahkan Koroner Daerah Santa Clara, selepas mendapat pengesahan daripada Pusat Kawalan Penyakit (CDC).
“Seorang lagi yang meninggal dunia di Santa Clara pada 6 Mac lalu juga didapati positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketiga-tiga individu meninggal di rumah ketika ujian saringan sangat terhad dan hanya boleh diperoleh melalui CDC.
Katanya, kriteria ujian yang ditetapkan CDC pada waktu itu hanya ke atas individu yang mempunyai sejarah perjalanan dan memerlukan rawatan bagi simptom tertentu.
Tambah beliau lagi, pihak koroner menjangka akan mengenal pasti lebih banyak lagi kematian akibat COVID-19 di Santa Clara.
“Kita akan terus menyiasat dengan teliti kematian yang berlaku di wilayah ini dan menjangkakan lebih banyak lagi kes kematian yang positif COVID-19 akan dikenal pasti,” katanya.
Sebelum ini, kematian pertama akibat COVID-19 dipercayai berlaku di Washington pada 26 Februari lalu.
Bagaimanapun, kajian yang dilakukan minggu ini menunjukkan COVID-19 sudah merebak secara luas berbanding angka rasmi dan kawasan penularan wabak yang diumum kerajaan.
Sampel darah yang diambil daripada 3,300 sukarelawan di Santa Clara menunjukkan angka sebenar COVID-19 adalah 50 kali lebih tinggi berbanding jangkitan yang disahkan di daerah itu.
Santa Clara antara kawasan pertama di AS yang mengarahkan penduduknya untuk tinggal di rumah bagi mengekang penyebaran virus, selain menutup daerah itu bermula 17 Mac lalu. - AFP

1 comment:

Unknown said...

Syukur, Allah segera lindungkan kita dan memberi kesedaran kepada pemimpin

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails