Thursday, April 23, 2020

PKP: Biasakan Ramadan Solat Tarawih Di Rumah Tahun Ini.

Normal Baharu: Umat Islam disaran biasakan Ramadan tanpa solat Tarawih di masjid
Normal Baharu: Umat Islam disaran biasakan Ramadan tanpa solat Tarawih di masjid.

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini diingatkan supaya menyesuaikan diri pada bulan Ramadan tahun ini dengan normal baharu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mencegah pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, aktiviti solat fardu secara berjemaah dan solat Tarawih di masjid tidak akan berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Walau bagaimanapun, katanya, ibadah tersebut boleh dilaksanakan di rumah bersama ahli keluarga.

“Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagai mana sedia kala kerana ia adalah usaha memelihara agama (hifz al-din) dalam maqasid al-syariah.

“Namun, memelihara nyawa (hifz al-nafs) juga adalah penting ketika ini. Akhirnya, kita akan dapat satu jawapan; matlamat hifz al-din takkan tercapai kecuali dengan hifz al-nafs.

“Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sejujurnya saya mahukan Ramadan yang terbaik untuk umat Islam di Malaysia.

“Saya bersyukur kerana anda semua amat memahami dan bersama-sama saya untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19. Yakinlah, Allah S.W.T melihat apa yang kita lakukan, mendengar apa yang kita doakan,” katanya dalam perutusan khas sebentar tadi.

Video: Sidang media mengenai Ramadhan

Mengulas lanjut, beliau mengakui, bahawa semestinya sukar untuk umat Islam membiasakan perkara tersebut khususnya pada bulan Ramadan.

“Namun, saya yakin ada hikmahnya.

“Kepada frontliners, sesibuk mana pun anda, jangan lupa untuk bersahur. Pada sahur itu ada barakah. Anda perlu kuat untuk kami, demi negara.

“Kepada ibu-ibu di rumah, jangan lupa ajak sekali suami dan anak-anak menyiapkan menu sahur. Barulah meriah dapur di awal pagi.

"Pastikan ada peluang walaupun sedikit untuk menunaikan solat Tahajud. Bilakah saat terakhir kita sekeluarga sama-sama menunaikan solat Tahajud dan bermunajat kepadaNya? Saya yakin, dengan Ramadan new normal ini, kita boleh sama-sama laksanakannya,” katanya. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails