Tuesday, March 24, 2020

Melombong Emas Secara Haram..

MINI palong yang digunakan untuk mencari emas secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai.Dua lelaki tempatan ditahan. FOTO Mohd Rafi Mamat

TERLALU rakus inginkan habuan lumayan mengundang padah apabila dua lelaki yang melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai dekat Sungai Timah, Kuala Lipis semalam berjaya ditangkap semalam.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya membuat serbuan selepas menerima aduan penduduk Felcra Sungai Temau yang mendakwa berlaku kegiatan melombong emas hingga menyebabkan loji air di kawasan terbabit ditutup sementara.
Menurutnya, serbuan membabitkan 37 anggota anggota Unit Penguat kuasa Pahang Barat JPNP, Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis dan Pejabat Daerah Dan Tanah Lipis yang membuat semakan di dua laluan utama dalam kawasan hutan simpan terbabit.
“Serbuan di lokasi pertama berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang melombong emas secara haram.
“Kami juga menyita pelbagai peralatan melombong seperti dulang, mini palong, pam air dan motosikal yang digunakan untuk berulang alik ke kawasan terbabit,” katanya.
Menurutnya, di lokasi kedua serbuan yang terletak 200 meter daripada lokasi pertama, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan dan peralatan melombongnya disita.
“Semakan di lokasi ke tiga yang terletak 30 meter daripada lokasi kedua, juga menemui motosikal dan pelbagai peralatan melombong sama digunakan dua individu ditahan itu.
“Kita tidak menolak kemungkinan kegiatan melombong emas secara haram di kawasan terbabit dilakukan individu yang bergerak dalam satu kumpulan kerana kaedah melombong dan peralatan digunakan hampir sama,” katanya dihubungi, di sini hari ini.
Beliau menambah, semua peralatan melombong termasuk tiga motosikal yang disita disimpan di pusat simpanan barangan rampasan JPNP di Batu 18, Tersang Raub dan dua individu terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.
SUNGAI Timah menjadi keroh disebabkan kegiatan melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai. FOTO Mohd Rafi Mamat SUNGAI Timah menjadi keroh disebabkan kegiatan melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Hizamri berkata, kegiatan melombong emas secara haram yang dilakukan pihak terbabit menyebabkan berlaku pencemaran air Sungai Timah selain hakisan tidak terkawal di kawasan terbabit.
Katanya, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 namun anggota penguat kuasa JPNP tetap menjalankan tugas dalam memastikan kegiatan yang menyalahi undang-undang tidak dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita memandang serius kegiatan melombong emas secara haram dalam hutan simpan berlaku di daerah ini, usaha menyekatnya dilakukan secara berterusan dengan pelbagai cara.
“Saya mengingatkan kepada mereka yang terbabit dengan aktiviti melombong emas secara haram dalam huran simpan supaya segera meninggalkan kegiatan itu bagi mengelak dikenakan tindakan dibawah Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya. (MyMetro)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails