Sunday, December 23, 2018

Kadar Jenayah Terengganu Turun Tahun Ini.


Kadar jenayah di Terengganu bagi tempoh Januari tahun ini hingga semalam mencatatkan penurunan kepada 1,770 kes berbanding 2,200 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas. 

Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, daerah Kuala Terengganu mencatat jumlah jenayah tertinggi iaitu 534 kes diiikuti Besut (360), Dungun (271), Kemaman (266), Marang (137), Setiu (104) dan Hulu Terengganu (98). 

Beliau berkata kes membabitkan curi motosikal menjadi penyumbang tertinggi kepada jenayah negeri ini diikuti jenayah melibatkan kecurian harta benda. 

“Saya berpuas hati dengan pencapaian kontinjen Terengganu dalam menurunkan kadar jenayah negeri. Contohnya, kes kecurian motosikal yang menjadi penyumbang (jenayah) tertinggi telah dapat dikurangkan daripada 500 kes tahun lepas kepada 450 kes tahun ini. 
“Ia adalah hasil kerjasama antara orang awam dan polis yang memberi maklumat dan lawatan ke bengkel bagi mengesan jika terdapat alat ganti yang telah dileraikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel Wanita Siri 1/2018 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Dungun, di sini, hari ini. Turut hadir, Komandan PULAPOL Kuching, Datuk Azman Salim. 

Seramai 292 pelatih konstabel wanita berjaya menamatkan latihan asas kepolisan selama enam bulan bermula 23 Jun lepas. Terdahulu dalam ucapannya Aidi turut mengingatkan semua pelatih supaya sentiasa menjalankan tugas dengan ikhlas dan jujur kepada masyarakat. 

“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian pelatih wanita kali ini dan berharap agar mereka dapat meneruskan kecemerlangan ini dalam perkhidmatan di luar kelak,” katanya. 

Untuk rekod seramai 6,000 pelatih tamat dilatih di 10 pusat latihan seluruh negara tahun ini membabitkan pelbagai pangkat termasuk kadet sarjan, kadet Inspektor dan konstabel. – Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails