Peserta perhimpunan hadir mengenakan baju berwarna hitam sebagai tanda sokongan agar mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam 17 Dis lalu selepas kira-kira tiga minggu menerima rawatan di institut berkenaan.
Peserta perhimpunan terlebih dahulu berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang bagi menunaikan solat jenazah ghaib bagi Muhammad Adib dan solat Asar secara berjemaah yang diketuai imam masjid itu Mohd Azrun Tuniran.
Para peserta perhimpunan mula berarak ke Dataran Seni Klang yang terletak kira-kira 400 meter dari masjid berkenaan pada kira-kira 5.15 petang sambil mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) turut memberikan ucapan di perhimpunan berkenaan.
Wakil penganjur, Abu Bakar Mohamed dalam ucapannya menuntut pihak berkuasa segera mencari dalang insiden yang menyebabkan kematian Muhammad Adib selain menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dipecat.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Zambri Mohd Isa pula menuntut agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan segera bagi memastikan siasatan yang lebih telus tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
Himpunan berkenaan mendapat sokongan beberapa NGO lain antaranya Gerakan Srikandi Malaysia, Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang, Badan Amal Tarbiyah Sejagat, Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia dan Kebajikan Sejagat Malaysia.
Perhimpunan berlangsung tanpa sebarang kekecohan dan peserta mula beredar meninggalkan lokasi pada kira-kira 6.30 petang.- BERNAMA