Tuesday, April 10, 2018

PRU14: 11 DUN Dibubar, P.Pinang Bubar DUN Esok


KUALA LUMPUR – Tiga lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Terengganu, Perak dan Selangor dibubarkan hari ini, menjadikan 11 DUN yang telah berbuat demikian bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pembubaran DUN Pulau Pinang berkuat kuasa esok dan ia tidak melibatkan Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2016.Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat khas badan itu pagi esok di Putrajaya antara lain bagi menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRU14 seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu dan meminta kerajaan negeri, kecuali Sarawak, turut membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRU14 dilakukan secara serentak.
Susulan itu, Sabah, Perlis, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Kedah membubarkan DUN masing-masing berkuat kuasa Sabtu (7 April).
Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembubaran DUN negeri itu telah diperkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selepas beliau menghadap baginda di Istana Syarqiyyah pagi tadi.
DI KUALA KANGSAR, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mengisytiharkan pembubaran DUN ke-13 Perak berkuat kuasa hari ini, pada istiadat menzahirkan pengumuman pembubaran itu di Istana Iskandariah di sini.
Di SHAH ALAM, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembubaran DUN Selangor berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda menandatangani watikah proklamasi pembubaran dalam satu istiadat ringkas di Istana Alam Shah di Klang, kira-kira 10.30 pagi tadi.
Di GEORGE TOWN, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau telah bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas hari ini bagi mendapatkan persetujuan pembubaran DUN.
Menurut Lim, Abdul Rahman telah memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa esok. – BERNAMA
Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails