Saturday, November 05, 2016

Tuntut Ahok Letak Jawatan, Puluh Ribuan Berdemontrasi.


SEBAHAGIAN penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi di Jakarta semalam.


JAKARTA – Puluhan ribu penduduk Islam Indonesia me­nyertai tunjuk perasaan de­ngan berarak ke Istana Presiden bagi menuntut peletakan jawatan gabenor Jakarta beragama Kristian yang didakwa menghina al-Quran.
Suasana di bandar itu kelihatan tegang menyebabkan beberapa syarikat meminta kakitangannya bekerja dari rumah memandangkan akses terhad ke kawasan perniagaan.
Beberapa kedutaan asing turut menggesa rakyat mereka supaya mengambil tindakan berhati-hati semasa berkunjung ke ibu kota Jakarta.
Sementara itu, sejumlah 18,000 anggota keselamatan dikerahkan di bandar Jakarta yang dihuni 10 juta penduduk, kata polis.
Kebanyakan penunjuk perasaan dirakam memakai jubah dan kopiah berwarna putih ketika berkumpul di Masjid Istiqlal yang merupakan masjid terbesar di negara itu sebelum mereka mula bergerak ke Istana Pre­siden.
Penunjuk perasaan diketuai oleh kumpulan yang dikenali sebagai Barisan Pembela Islam (FPI) menggesa penduduk supaya mengadakan demonstrasi terhadap Gabenor Jakarta, Basuki Tjahja Purnama.
Beliau yang turut dikenali sebagai Ahok merupakan penganut Kristian dan etnik Cina pertama yang me­nyandang jawatan berkenaan.
Malah, Ahok pernah berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor Jakarta ketika Presiden Indonesia, Joko Widodo menyandang jawatan sebagai gabenor bandar itu bermula tahun 2012 dan berundur pada 2014 untuk bertanding jawatan Presiden Indonesia.
Menurut kumpulan FPI, Ahok mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan selepas mengatakan seorang musuh politiknya menipu pengundi apabila menyerang beliau dengan menggunakan ayat daripada surah Al-Maidah ketika berucap di Kepulauan Seribu baru-baru ini.
“Beliau bukan Islam tetapi menghina al-Quran. Jangan merujuk apa-apa di dalam al-Quran terutamanya menafsirkan ayat suci secara tidak betul.
“Saya berdoa kepada Tuhan supaya beliau dipenjara, kata seorang penunjuk perasaan,” Muhammad Said kepada Reuters.
Sementara itu, Joko dan Timbalannya, Jusuf Kalla dalam satu kenyataan bersama meminta supaya bantahan itu dilakukan secara aman dan semua orang perlu terus bekerja seperti biasa.
Dalam perkembangan sama, beberapa pengkritik politik menyifatkan kerajaan Joko tidak bertindak dengan secukupnya terutamanya membendung ketegangan agama dan etnik yang semakin memuncak menjelang pilihan raya gabenor pada Februari 2017.
Ahok akan bertanding semula dalam pilihan raya itu dan dijangka dicabar oleh dua calon beragama Islam iaitu Agus Harimurti Yudho­yono yang merupakan anak lelaki bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Seorang lagi calon ialah bekas Menteri Pendidikan, Anies Baswedan. – Reuters
Sila lihat..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails