Sunday, November 20, 2016

30,000 Rohingya Berhijrah, Bukan Melarikan Diri.


ETNIK Rohingya yang tinggal di kampung-kampung di luar Maugndaw, Rakhine melarikan diri akibat keganasan pada 27 Oktober lalu. - REUTERS


YANGON – Lebih 30,000 orang menjadi pelarian akibat keganasan di Rakhine dengan separuh daripada mereka bergerak sejak minggu lepas selepas berpuluh-puluh orang mati dalam pertempuran dengan tentera, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
Pasukan tentera kini mengadakan kawalan penuh di kawasan sempadan Bangladesh yang menjadi tempat tinggal kepada penduduk minoriti Islam Rohingya, selepas serangan terancang ke atas pos sempadan bulan lepas.
Kenyataan pihak tentera menyatakan seramai 70 orang terbunuh ketika melakukan misi mencari penyerang, walaupun kumpulan aktivis memberitahu jumlah tersebut adalah lebih tinggi.
Keganasan semakin meningkat sepanjang hujung minggu lalu dengan media tempatan melaporkan pasukan tentera membunuh lebih 30 orang lagi dalam pertempuran selama dua hari.
Dalam pada itu, wakil khas PBB di Myanmar, Yanghee Lee, mengkritik kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi dalam menangani krisis tersebut dan menggesa tindakan segera.
Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memberitahu, seramai 15,000 orang dipercayai melarikan diri dari tempat tinggal mereka dalam tempoh 48 jam lalu.
“Lebih 30,000 orang dianggarkan melarikan diri, manakala ribuan lagi menerima kesan daripada pemberontak dan operasi keselamatan sejak 9 Oktober lepas di seluruh negeri Rakhine,” ujar jurucakap OCHA.
Tambah kenyataan tersebut, sumber mengesahkan jumlah itu termasuk 15,000 orang mungkin melarikan diri selepas pertempuran antara pemberontak dan tentera pada 12 hingga 13 November lepas.
Aktivis mendakwa pasukan tentera membunuh orang awam, merogol wanita dan membakar tempat tinggal, namun disangkal keras oleh kerajaan.
Pihak berkuasa telah mengawal ketat kawasan terbabit daripada pihak media menyebabkan sukar untuk mengesahkan laporan atau tuduhan keganasan tentera. – AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ada beza antara 'berhijrah' dengan 'melarikan diri'. Berhijrah bererti berpindah dari sesuatu kepada sesuatu samada tempat atau lain-lain, kerana Allah atau kerana perintah Allah.
Melarikan diri bererti berpindah atau bertukar tempat atau sesuatu demi menyelamatkan diri dari kezaliman atau lain-lain.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails