Sunday, October 09, 2016

Taufan Matthew Meragut Hampir 900 Nyawa Di Haiti, AS

Hasil carian imej untuk 877 maut dibadai Taufan Matthew
GAMBAR yang dirakam dari udara kelmarin menunjukkan kerosakan teruk yang dialami di Jeremie, barat Haiti selepas dilanda Taufan Matthew. - AFP


Port-Au-Prince: Taufan Matthew meragut hampir 900 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal di Haiti awal minggu ini sebelum ia bergerak ke arah utara semalam, membadai pesisir pantai tenggara Amerika Syarikat, menyebabkan banjir serta memutuskan bekalan elektrik di banyak kawasan.
Jumlah kematian di Haiti, negara paling miskin di benua Amerika, meningkat kepada 877 apabila maklumat mengenai kemusnahan di kawasan pedalaman yang sebelum ini terputus mula diterima.
Matthew membadai semenanjung barat Haiti Selasa lalu dengan membawa angin kencang selaju 233 kilometer sejam dan hujan lebat.
Pegawai berkata, kira-kira 61,500 masih lagi berada di tempat perlindungan selepas ribut dan hujan lebat memusnahkan perkampungan tepi pantai negara itu yang sebahagiannya baru semalam dapat dihubungi.
Sekurang-kurangnya tiga bandar di kawasan bukit dan pantai bahagian barat negara itu melaporkan puluhan penduduknya terbunuh.
Hasil carian imej untuk 877 maut dibadai Taufan Matthew
KEADAAN di Jeremie, Haiti, semalam, selepas dibadai taufan Matthew, Selasa lalu.
Di Chantal, sebuah kampung pertanian, 86 orang mati, kebanyakannya selepas rumah mereka dihempap pokok yang tumbang.
Usaha menghantar bantuan ke kawasan yang paling teruk terjejas sukar dilakukan kerana banjir. Makanan terlalu sedikit dan sekurang-kurangnya tujuh orang mati akibat taun, kemungkinan besar disebabkan air banjir bercampur dengan air kumbahan.
Di Amerika Syarikat, sebahagian bandar bersejarah di selatan negara itu berdepan dengan taufan berkenaan yang semakin lemah tetapi tetap berbahaya.
Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di Florida akibat taufan itu dan lebih sejuta kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik walaupun angin paling kencang itu hanya membadai kawasan pesisir pantai.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika meramalkan, Matthew yang kini dalam Kategori Dua, akan tiba di Carolina Utara malam ini (waktu tempatan).
Matthew dianggap taufan paling kuat mengancam kawasan Atlantik dalam tempoh lebih 10 tahun. (Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016, beberapa jam lalu)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails