Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh (gambar kanan) berkata, bagi situasi tidak darurat, hukumnya haram mengikut ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh Abdullah Abd. al-Rahman al-Jibrin.
Manakala Syeikh Wahbah al-Zuhayli dan Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi dalam satu fatwa yang dipengerusikan oleh Syeikh Ibn Baz memutuskan bahawa doktor lelaki tidak diharuskan menguruskan perbidanan wanita.
“Walau bagaimanapun, dalam situasi darurat, iaitu apabila rawatan tersebut memang memerlukan kepakaran daripada doktor lelaki dan tiada doktor wanita yang boleh menjalankan tugas tersebut, hukumnya ialah harus.
“Hal ini diputuskan oleh Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi dalam satu fatwa yang dipengerusikan oleh Syeikh Ibn Baz dan dianggotai oleh Syeikh Bakr Abd. Allah Abu Zayd (1429 H), Syeikh Abd. al-Aziz Abd Allih Alu Shaykh, Syeikh Ali Fawzan al-Fawzan dan Syeikh Muammad Nair al-Din al-Albani (1420 H).
Nik Salida Suhaila berkata, melihat kepada situasi semasa, sudah banyak hospital swasta yang mempunyai doktor pakar wanita dalam bidang sakit puan dan boleh membidani wanita yang bersalin.
“Justeru, bagi wanita yang mampu, mereka harus memilih untuk bersalin di hospital swasta dengan doktor wanita. Namun, jika tidak mampu, tidak mengapa jika tidak memilih untuk bersalin di hospital tersebut, kerana situasi ini boleh dikatakan darurat kepada mereka.
“ Jika mampu, memilih untuk bersalin di hospital swasta tetapi memilih doktor lelaki, ia kembali kepada jawapan di atas, iaitu situasi tidak darurat yang menyebabkan hukumnya haram atau tidak harus mengikut pandangan ulama.
“Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, bahawa tidak logik lagi pada hari ini sekiranya tugasan untuk menyambut kelahiran bayi tidak boleh diberikan kepada doktor wanita sepenuhnya kerana pada masa ini jumlah doktor wanita di bahagian perbidanan sudah ramai,” katanya. (Utusan Online)

Lihat sebelum ini..


Video:

Doktor Lelaki Sambut Kelahiran - Ustaz Azhar Idrus 

BASMALAH-20120126 - HUKUM WANITA DENGAN DOKTOR LELAKI - DR ASRI