Monday, November 09, 2015

Duta Iran-KL Wanita Pertama Selepas Revolusi..

Duta Iran ke Kuala Lumpur yang baharu Marzieh Afkham, menjadi duta wanita pertama negara itu dilantik sejak revolusi Islam 1979. – Gambar AFP,

Iran melantik duta wanita pertamanya selepas revolusi Islam 1979 apabila jurucakap Kementerian Luarnya Marzieh Afkham dilantik menjadi duta ke Kuala Lumpur seperti diumumkan semalam.

"Memilih Afkham sebagai duta hanya mengambil masa beberapa minit tetapi melantik penggantinya mengambil masa 4 bulan," kata Menteri Luar Mohammad Javad Zarif pada satu majlis di Tehran meraikan diplomat berusia 50 tahun itu yang akan digantikan seorang lelaki, Jaber Ansari.

Media Iran mula menyebut sejak April lagi Afkham akan dinaikkan pangkat sebagai duta, namun laporan itu tidak dapat disahkan.

Zarif ketika meraikan Afkham yang juga merupakan wanita pertama republik Islam itu dilantik sebagai jurucakap Kementerian Luar berkata, beliau melaksanakan tugasnya selama 2 tahun dengan penuh maruah, berani dan mendalam.

Duta baharu ke Kuala Lumpur itu pula memuji Zarif kerana berani membuat keputusan itu dan kepercayaannya kepada wanita, lapor AFP yang memetik agensi berita IRNA.

Selepas menang pilihan raya 2013, presiden Iran yang sederhana, Hassan Rouhani meminta menteri melantik wanita ke jawatan lebih tinggi dan berkata kerajaannya akan menentang diskriminasi dan menamakan 3 wanita di kalangan 11 naib presiden negara itu.

Walaupun lebih liberal berbanding negara Arab lain, undang-undang Iran sejak revolusi didakwa tidak adil kepada wanita dalam kes perkahwinan, penceraian dan harta pusaka.

Walaupun wanita dilantik dalam jawatan penting termasuk ahli Parlimen dan menteri Kabinet namun mereka tidak dibenarkan menjadi hakim dan memegang jawatan presiden. - AFP, 9 November, 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails