Thursday, May 08, 2014

Negeri Lain Patut Tuntut Royalti Petroleum 20% -Husam Musa


Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menggesa negeri pengeluar petroleum mengikut jejak langkah Sarawak yang meluluskan usul menuntut bayaran royalti petroleum dinaikkan kepada kadar 20 peratus.

Selain itu, bekas anggota Exco Kelantan itu juga menuntut agar negeri berkenaan menuntut pemilikan saham dalam syarikat petroleum negara, Petronas untuk membolehkan negeri tersebut menikmati agihan lebih adil.

"Saya mengucapkan tahniah di atas keberanian kerajaan Sarawak. Saya berharap tiga negeri pengeluar yang lain (Kelantan, Terengganu, Sabah) dapat mengambil langkah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
"Saya mencadangkan juga agar negeri-negeri pengeluar petroleum yang rata-rata miskin dapat sama menuntut ekuiti dalam Petronas sama seperti kerajaan Malaysia bagi membolehkan negeri-negeri pengeluar menikmati pembahagian kekayaan petroleum yang lebih saksama," katanya.

Beliau mengulas mengenai satu rang undang-undang persendirian diluluskan DUN Sarawak semalam, yang memohon kenaikan royalti minyak dan gas dari kerajaan persekutuan dari kadar lima peratus kepada 20 peratus.

Sarawak kini menerima RM1.6 bilion setahun dari bayaran lima peratus tersebut. Kenaikan sebanyak 15 peratus dari pengeluar minyak dan gas terbesar di Malaysia itu dijangka akan membolehkan Sarawak menikmati RM6.4 bilion setahun.

Sementara itu, bekas MP Pasir Mas merangkap presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali turut menyokong usul yang telah diluluskan Sarawak semalam. Menurutnya, peningkatan royalti daripada petroleum daripada 5 ke 20 peratus seperti diusulkan itu dapat menampung kos pembangunan negeri tersebut.

"Memang Sarawak dan Sabah negeri yang besar dan memerlukan kewangan yang banyak bagi melaksanakan projek infrastruktur, terutama lebuh raya, jalan-jalan kampung dan meningkatkan sosio ekonomi kaum peribumi yang masih mundur.
"Oleh itu, wajar kerajaan dengan serius mempertimbangkan usul DUN Sarawak - sama ada 20 peratus atau peningkatan daripada lima peratus itu tahap yang difikir munasabah dan adil.
"Tapi 20 peratus adalah tuntutan yang wajar serta wajar dipertimbangkan," katanya. (MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails