Tuesday, December 17, 2013

PAS: Erdogen Menang Di Pusat, Tapi Merudum Di Negeri..


Pelantikan pesuruhjaya PAS negeri diputuskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dibuat di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Di Selangor, pelantikan Iskandar Abdul Samad sebagai pesuruhjaya yang baru menyaksikan semua yang menyokong kumpulan ulama mendapat tempat manakala yang dikira kumpulan Erdogan tersingkir. Erdogan adalah nama yang diambil daripada Reccep Tayyib Erdogan, Perdana Menteri Turki yang berpisah daripada parti asalnya yang dikira konservatif dengan menubuhkan sebuah parti baru lebih progresif dan dinamakan Parti Keadilan Sejahtera (AKP).

Sebahagian pemimpin PAS yang berfikiran sebagaimana presiden Turki yang berjaya memenangkan partinya sejak tiga penggal lalu digelar sebagai "Erdogan". Datuk Husam Musa dikira sebagai tokoh utama kumpulan ini.

Tokoh Erdogan di Selangor, Khalid Samad (sebelum ini timbalan pesuruhjaya yang kanan), Dr Dzulkefly Ahmad (AJK PAS Pusat), dan Izham Hashim (bekas bendahari) tidak mendapat tempat kali ini di peringkat negeri apatah lagi bekas pesuruhjaya Dr Rani Othman.

Khalid dan Dzulkefly menang besar dalam pemilihan muktamar lalu dalam perebutan jawatan AJK PAS Pusat namun nama mereka terkeluar daripada jawatan penting di peringkat negeri. Khalid yang menjadi timbalan pesuruhjaya PAS Selangor dalam sesi lalu,  bagaimanapun tidak risau dengan barisan Kabinet baru PAS Selangor itu walaupun dia seolah-olah tidak akan berperanan lagi.

"Mari kita beri peluang kepada Iskandar untuk menunjukkan kebolehannya. Jika gagal dan menyusahkan parti, dia akan menjadi seperti (Datuk Dr) Hassan Ali," kata Khalid, Ahli Parlimen Shah Alam kepada The Malaysian Insider.

Khalid berkata, walau di mana beliau berada, beliau akan memainkan peranan dan memastikan kehadirannya dirasai. Sikap Khalid sama dengan bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman yang membuat kenduri selepas tidak lagi dilantik sebagai pesuruhjaya.

Dr Rani tidak dikekalkan sebagai pesuruhjaya PAS Selangor walaupun pencapaian PAS Selangor di bawah pimpinannya dikira paling cemerlang apabila berjaya mendapat 15 kerusi DUN dalam pilihan raya umum lalu, pertambahan tujuh kerusi berbanding pilihan raya 2008 ketika PAS Selangor dipimpin Hassan.

Apa yang berlaku di Selangor,  juga berlaku di Wilayah Persekutuan apabila golongan Erdogan tidak mendapat tempat langsung dengan pengekalan Mohamad Nor sebagai pesuruhjaya. Bahkan ia diperkukuh lagi dengan kemasukan beberapa tokoh yang akan menjauhkan lagi Erdogan dalam menentukan hala tuju PAS di ibu kota itu.

Di Perak, bekas pengarah pilihan raya PAS Perak yang menjadi pengerusi pemilihan Muktamar PAS 2013, Asmuni Awi tidak termasuk dalam senarai Kabinet negeri apabila Razman Zakaria dilantik sebagai pesuruhjaya. Namun, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dikekalkan  sebagai timbalan pesuruhjaya.

Di Kedah nama Datuk Phahrolrazi Zawawi, tokoh yang bertembung dengan allahyarham Datuk Seri Azizan Razak hilang terus daripada Kabinet PAS Kedah. Namun bekas timbalan pesuruhjaya I Kedah itu akan berada dalam Badan Perhubungan PAS Kedah selepas menang sebagai Yang Dipertua PAS Kuala Kedah sebelum ini. Datuk Mahfuz Omar dikekalkan sebagai pesuruhjaya PAS Kedah oleh PAS Pusat sebelum ini.

Di Kelantan, Datuk Husam Musa kekal sebagai timbalan pesuruhjaya tetapi turun sedikit daripada timbalan pesuruhjaya II sebelum ini kepada timbalan pesuruhjaya III walaupun menang naib presiden di peringkat pusat. Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah yang kalah untuk jawatan timbalan presiden dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya I dan  Senator Datuk Dr Johari Mat ialah timbalan pesuruhjaya II.

"Saya nampak, mereka yang menang dipersendakan apabila mereka yang kalah diberikan kedudukan lebih tinggi daripada yang menang," kata penganalisis dari Kelantan.

Di Terengganu, kabinet PAS negeri hampir mengekalkan orang lama apabila hanya berlaku penyusunan kedudukan sahaja. Saiful Bahri yang dilantik sebagai pesuruhjaya, setelah Mohamad Abdul Wahid Endut terpaksa berehat ekoran masalah kesihatan, melantik Yahya Ali, bekas setiausaha perhubungan, menjadi timbalan pesuruhjaya II.

Muhyidin Abdul Rashid, bekas timbalan pesuruhjaya dilantik sebagai setiausaha perhubungan menggantikan Yahya. – 17 Disember, 2013. (TMI)

IKLAN  
Daun Stevia Siap Kering & Potong
Daun Stevia Siap Kering & Potong 
1 kg = rm 70 tidak termasuk kos penghantaran berminat sila hubungi/sms kami : 014 222 5865 / 011 2302 8768 resourceshmh@gmail.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails