KL: Pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak dilaporkan akan mengambil 
jalan menjual aset negara dan menerbitkan lebih banyak sekuriti hutang 
dari aset-aset negara semata-mata untuk menutup kegagalan pentadbiran 
ekonomi dan mencapai sasaran defisit yang ditetapkan, dakwa Pengarah 
Strategi PKR, Rafizi Ramli.
Memetik laporan terkini dari Bank 
Dunia, beliau menyifatkan langkah ini sebagai ‘cukup mengejutkan’ kerana
 pentadbiran Najib  sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan 
mencagarkan harta-harta negara (melalui securitization of government mortgages) untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaan.
Laporan bertajuk  “Malaysia Economic Monitor: December 2013” pada mukasurat 10 menyatakan:
“… the government reaffirmed its 
headline deficit target for 2013 (4.0% of GDP vs 4.5% in 2012). This 
target will be achieved through additional tax revenues (Figure 13). Of 
the additional RM11.8 billion in revenues expected to be raised compared
 to budgeted estimates, RM7.4 billion originated from non-tax sources, 
including RM1.4 billion of proceeds from asset sales and RM4.2 billion 
from the securitization of government mortgages…”
Rafizi mengesyakki bahawa rancangan 
menjual aset negara ini telah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai 
sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal.
“Ini bermakna, harta-harta negara ini 
telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 
2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara.
“Saya memandang serius perkara ini dan
 akan menggesa satu sidang Parlimen tergempar dipanggil secepat mungkin 
untuk membincangkan kepincangan pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun
 Razak yang meliputi isu-isu kenaikan harga barang mendadak dan tindakan
 menjual dan mencagarkan aset negara seperti yang didedahkan di dalam 
laporan Bank Dunia.
“Perkara ini akan saya bawa dalam 
mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan malam ini (semalam) supaya permohonan 
sidang tergempar Parlimen boleh dibuat secepat mungkin,” ujarnya.
Menurut beliau, PKR telah berkali-kali
 menegaskan bahawa untuk menurunkan defisit, reformasi ekonomi yang 
menyeluruh perlu dibuat, bermula dengan mengekang rasuah dan keborosan.
Langkah ini, jelasnya akan 
mengurangkan belanja yang ditanggung rakyat setiap tahun kerana 
pendapatan yang diperolehi negara adalah mencukupi.
Malah tambahnya, dengan penjimatan 
dalam perbelanjaan kerajaan, PKR yakin sasaran defisit yang lebih rendah
 iaitu 3.5% boleh dicapai seperti yang diunjurkan di dalam Belanjawan 
Pakatan Rakyat.
“Keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak
 memotong perbelanjaan boros kerajaannya menyebabkan beliau mencari 
jalan yang menekan rakyat.
“Kenaikan harga barang, pengurangan 
subsidi, kenaikan tarif dan yang terkini kenaikan tol adalah berpunca 
dari kegilaan Dato’ Seri Najib Tun Razak mahu mencapai sasaran defisit 
tetapi tidak mahu membanteras rasuah,” tegas beliau. (IH)
 
 

No comments:
Post a Comment