MUHAMMAD Muhd. Taib (tiga dari kanan) bersama Datuk Seri
Mohd. Ali Rustam (tiga dari kiri) Datuk Dr. Mohd. Zahid Hamidi (dua
dari kiri) Datuk Sri Shaffie Afdal (dua dari kanan) Tan Sri Mohd. Isa
Samad (kanan) dan Datuk Onn Ismail (kiri) mengangkat tangan pada majlis
memperkenalkan senarai nama calon yang bertanding dalam Perhimpunan
Agong Umno ke 58 di Shah Alam, semalam.(Gambar 2009)
IPOH: Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad
Mohd Taib berkata, Umno tidak pernah merujuk kepada al-Quran dan Hadis
dalam perjuangannya. Menurutnya, perkara tersebut berbeza dengan
PAS yang menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai pegangan dan rujukan
utama setiap masa.
Itulah antara penyebabnya mengambil keputusan menyertai PAS setelah bergelumang dalam Umno sejak tahun 1964 lagi.
"Masa
saya jadi Menteri Besar (Selangor), saya tidak pernah buka (rujuk)
al-Quran untuk mentadbir negeri, begitu juga semua Perdana Menteri
sehinggalah Najib ketika ini.
"Tetapi dalam PAS berbeza, Tok Guru
Nik Aziz, Ustaz Hadi selalu rujuk al-Quran ketika mereka memerintah
negeri masing-masing," katanya ketika membentangkan kertas kerja di
Konvensyen PAS Perak di Hotel Tower Regency, Ahad lalu.
Mantan
Naib Presiden Umno itu menjelaskan, beliau mengambil keputusan
menyertai PAS apabila telah menyedari akan perjuangan Umno yang semakin
menyimpang. Katanya, beliau ingin membetulkan dirinya kembali
dalam pengakhiran usianya dan ingin membantu PAS mencapai hasrat
memerintah negara dan memimpin ummah.
PAS katanya diwakili golongan berkemahiran agama dan profesional yang cerdik pandai tetapi Umno hanya menjadi parti ikutan tidak berdasarkan pemikiran.
"Umno
hanya jadi parti yang ikut-ikut sahaja, mereka yang masuk Umno bukan
yang berfikir. Tidak seperti orang yang menyertai PAS.
"Saya
melihat, PAS adalah parti yang paling relevan dan sesuai untuk memimpin
masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu," ujarnya lagi.
BN katanya hanya berjaya dalam pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya gagal untuk mendidik rohani serta akhlak masyarakat. Tambahnya, Rakyat perlukan usaha daripada kumpulan baru yang berani untuk merubah suasana masyarakat dinegara ini.
Jelas
Muhammad, PAS sangat diyakini dapat melahirkan masyarakat yang selamat
di dunia dan akhirat disamping mengukuhkan aspek modal insan dan
membangunkan kemanusiaan. Justeru, beliau menggesa agar PAS lebih bersedia dan mengukuhkan lagi kedudukannya agar dapat meyakinkan rakyat khususnya orang Melayu.
"Kita kena kerja daripada sekarang untuk meyakinkan pengundi dan masyarakat tentang keperluan untuk berubah.
"Kita
perlu hebahkan tentang kelebihan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat
berbanding BN antaranya betapa cekap dan amanahnya pemimpin Pakatan
Rakyat membelanjakan duit kerajaan," jelasnya lagi. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment