MP PAS Sepang Mohamed Hanipa Maidin (gambar) menarik balik dakwaannya dalam Dewan Rakyat pada 23 Oktober lalu bahawa Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi ketua Pemuda Umno pernah menyebut "titiskan darah Cina dengan keris" dalam satu perhimpunan.
Beliau menarik balik kenyataan itu susulan notis aduan yang dikemukakan oleh Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mahu Hanipa dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan atas kenyataan tersebut.
"YB Pekan tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kaum apatah lagi menitis darah kaum Cina. Ini menimbulkan sangkaan jahat kepada YB Pekan," katanya.
Katanya, Hanipa perlu dirujuk ke jawtankuasa kuasa tersebut berdasarkan Peraturan Tetap 36 (6) yang menggariskan bahawa seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat kepada ahli dan dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan.
Ahmad mengemukakan notis tersebut pada hari yang sama, 23 Oktober lalu dan meminta Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan mengenai status aduannya tersebut hari ini.
Dalam penjelasannya di Dewan Rakyat hari ini, Hanipa berkata kenyataannya itu dipetik dari tulisan laman ensiklopedia bebas Wikipedia berhubung penangkapan ramai ahli politik dan aktivis bawah ISA dalam Operasi Lalang 1987.
Ahmad yang tidak berpuas hati dengan jawapan Hanipa kemudiannya mencelah dan membaca petikan hansard parlimen bagi membuktikan bahawa Hanipa benar-benar membuat dakwaan tersebut ke atas Najib.
Dewan juga gamat seketika apabila suasana kecoh juga tercetus dalam apabila beberapa ahli parlimen BN bangun dan memberi amaran kepada Hanipa supaya tidak menafikan apa yang disebutnya pada 23 Oktober lalu.
Keadaan itu terpaksa ditenangkan oleh Pandikar yang menegaskan bahawa beliau akan menyiasat sekiranya Hanipa mempertikaikan hansard parlimen.
"Saya minta YB fikir baik-baik apa yang tertulis itu (betul) atau tidak. Kalau mahu menarik balik, saya anggap perkara ini selesai.
"Kalau tidak tarik, saya ada dua pilihan (sebab) ada kes prima facie untuk dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan atau membuat ruling di bawah peraturan 36.6," katanya.
Susulan itu, Hanipa bangun dan mengakui apa yang terkandung dalam hansard dan beliau bercakap perkara itu kerana menganggap ia satu yang benar.
"Sekiranya tidak benar, saya tarik balik," katanya yang kemudiannya mencetuskan desakan lanjut ahli parlimen BN supaya menarik balik.
"Untuk menyenang hati pihak-pihak (BN), saya tarik balik... Saya mohon maaf (kenyataan itu)," katanya.
Bebearapa orang MP BN bagaimanapun masih tidak berpuas hati dan terus menimbulkan kekecohan dalam dan terpaksa ditenangkan oleh Pandikar sekali lagi.
"Saya anggap isu ini selesai, kerana saya berpuas hati dia tarik balik, dia minta maaf.
"Tetapi biasa orang politk, ada ekorannya 'kalau senang hati'. (Jadi) saya senang hati, tidakkah YB senang hati?" kata Pandikar. (MK)
No comments:
Post a Comment