Tuesday, October 29, 2013

Calon T/Presiden PAS Jangan Tarik Diri -Dr Kamarul Yusoff


Penganalisis: Calon timbalan presiden PAS perlu hormati pencalonan, jangan tarik diri

Pemimpin yang dicalonkan oleh PAS kawasan untuk bertanding dalam muktamar November ini diharap dapat menghormati penghargaan yang diberi kepada mereka dengan menyambut pencalonan itu bagi mengelak berlakunya perpecahan parti.

Penganalisis politik PAS Dr Kamarul Yusoff berkata, sejarah PAS menunjukkan pimpinan awal parti Islam itu menerima semua pencalonan yang dibuat ke atas mereka.

"Perpecahan pula hanya akan berlaku apabila pertembungan satu lawan satu di antara dua kumpulan yang dianggap berbeza, contohnya di antara kumpulan ulama dan bukan ulama," katanya.

kamarul yang memperoleh Ijazah Kedoktoran melalui tesisnya bertajuk 'Kepimpinan Ulama dalam PAS' berkata demikian ketika diminta mengulas senario terkini dalam parti Islam itu. Beliau mengulas cadangan disiarkan dalam satu laporan The Malaysian Insider supaya semua pemimpin yang dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS jangan menarik diri.

Ramai bimbang jika berlaku satu lawan satu antara ulama dan bukan ulama kerana ia akan menyebabkan perpecahan dalam PAS apabila kedua-dua pihak cuba mempertahankan kumpulan masing-masing.
Lima yang dicalonkan dan layak untuk bertanding bagi adalah Mohamad Sabu (penyandang), Datuk Husam Musa, Salahudin Ayub, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Setakat ini, hanya Mohamad mengesahkan akan mempertahankan jawatan manakala Salahudin akan bertanding kerusi naib presiden sahaja sementara tiga lagi iaitu Husam, Mohd Amar dan Tuan Ibrahim masih belum membuat keputusan.

Penganalisis berkata, jika berlaku pertembungan satu lawan satu antara kelompok ulama dan bukan ulama, yang kalah bakal rasa terpinggir. Ini kerana, pertandingan beberapa penjuru akan memperlihatkan kemenangan sesuatu calon disebabkan populariti dan bukan kerana kelompok masing-masing. Kamarul berkata, pemimpin terdahulu semasa Muktamar PAS ke-5 tidak menolak pencalonan yang dikemukakan kepada mereka.

Katanya, Profesor Zulkiflee Muhammad dicalonkan oleh PAS kawasan untuk bertanding dua jawatan, iaitu Yang Dipertua Agung dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Beliau menerima kedua-dua pencalonan ini, dan tewas bagi jawatan Yang Dipertua Agung PAS dengan memperolehi 12 undi berbanding 84 undi yang diperolehi Dr Burhanuddin al-Helmy.

Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pula, beliau menang dengan 67 undi berbanding Datuk Abu Samah Ali, Tan Sri Mohd Asri Muda dan Abdul Wahab Nor. Katanya, Abu Samah dicalonkan untuk bertanding dua jawatan, iaitu Timbalan Yang Dipertua Agung dan Naib Yang Dipertua Agung PAS.
Beliau tewas bagi kerusi Timbalan Yang Dipertua Agung tetapi menang jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS dengan memperolehi 33 undi berbanding 29 undi yang diperolehi Abdul Wahab Nor, Othman Hamzah (19 undi) dan Abdul Samad Noh (14 undi).

Begitu juga Mohd Asri dicalonkan bertanding dua jawatan, iaitu Timbalan Yang Dipertua Agung dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Beliau menerima kedua-dua pencalonan ini dan tewas jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS tetapi menang jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS dengan memperolehi 43 undi.

Perkara yang sama juga dilakukan oleh Abdul Wahab Nor, Othman Hamzah,  Abdul Samad Noh dan ramai lagi pemimpin awal PAS.

"Soalnya, apakah boleh kita katakan bahawa pemimpin PAS yang bertanding dua atau tiga jawatan serentak ini sebagai ‘gila jawatan’? Tentunya tidak," kata Kamarul.

Katanya, apa yang berlaku adalah mereka hanya menunjukkan penghormatan mereka ke atas pencalonan dibuat oleh PAS kawasan di seluruh negara kepada mereka.

"Atas sebab yang dinyatakan di atas, saya menyokong penuh saranan dalam tulisan Zulkifli Sulong di dalam The Malaysian Insider hari ini yang bertajuk Timbalan Presiden PAS: Mat Sabu lawan Mohd Amar? supaya semua individu yang dicalonkan oleh PAS Kawasan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS, malah untuk apa-apa jawatan sekalipun menerima pencalonan tersebut.

"Ini juga selaras dengan penegasan bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 18 Mac 2001, supaya  ‘mana-mana’ (pemimpin PAS) yang dicadangkan untuk bertanding tidak menolak pencalonan, termasuk sekiranya yang dicalonkan adalah muslimat”.
“Beliau juga dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 15 April 2001, ada berkata supaya pemimpin PAS yang dicalonkan ini tidak menarik diri bagi memberikan peluang untuk ahli membuat pilihan,” katanya. – 29 Oktober, 2013. (TMI)

Lihat lagi.. 
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails