Monday, August 12, 2013

Masjid Cina Ini, B/Binaan 100% Diimport Dari Cina, Ikut Sunahkah?


Seni bina masjid yang 100 peratus menggunakan seni reka Cina.
 

Sheikh Mohamah Noor menyampaikan tazkirah di Masjid Cina Muslim yang mula dibuka kepada jemaah.

Sebahagian jemaah yang menunaikan solat fardu Asar di masjid berkenaan.

IPOH - Tanggal 4 Ogos 2013 atau bersamaan dengan 27 Ramadan 1434H akan terus dikenang oleh warga Taman Tasek Jaya apabila Masjid Muhammadiah atau Masjid Cina Muslim dibuka untuk jemaah. Setelah hampir tiga tahun tergendala, kini warga Taman Tasek Jaya berbangga kerana berpeluang menunaikan solat fardu buat kali pertama di masjid berkenaan.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi Masjid berkenaan,  Datuk Dr Fadzli Cheah berkata, secara keseluruhannya, kewujudan masjid itu bertujuan menampung pertambahan penduduk di situ. Untuk rekod pembinaan masjid itu adalah hasil kerjasama jawatankuasa Masjid Lama Muhammadiah bersama pihak Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Ipoh.

Fadzli Cheah yang juga Pengerusi Macma cawangan Ipoh berkata,  kewujudan masjid berkenaan juga bakal memudahkan perkembangan syiar Islam  di kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah, masjid ini berjaya juga disiapkan dan namanya kita kekalkan sebagai Masjid Muhammadiah. Bagaimanapun, hanya fasa pertama yang disiapkan. Kita masih memiliki fasa kedua iaitu membina pusat dakwah di tapak masjid lama.
“Kita merancang untuk mewujudkan sekolah agama rakyat di tapak berkenaan tidak lama lagi,” katanya pada majlis pembukaan masjid berkenaan, Isnin lalu.

100 peratus bahan import

Difahamkan,  masjid yang dibina dengan kos RM6.8 juta (termasuk pusat dakwah dan sekolah agama rakyat)  di atas tapak seluas 0.4 hektar itu mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa. Lebih menarik, rumah ibadat ini adalah satu-satunya masjid di Malaysia  dibina menggunakan 100 peratus bahan binaan dan aksesori dari China.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, masjid ini juga menggunakan seni reka Cina sepenuhnya dengan  tidak memiliki kubah sebagaimana masjid ditemui di negara ini. Malah jika dilihat dengan sekali imbas, pasti tidak ada yang menyangka bahawa bangunan hasil binaan artifak Cina itu adalah sebuah masjid.

“Mungkin ini masjid ini akan menjadi sebagai salah satu tarikan baru di kawasan berkenaan dan Ipoh.
“Secara tidak langsung, ia dapat menarik kunjungan pelancong luar dan masyarakat bukan Islam di sini untuk mengunjunginya, mungkin sekadar untuk mengetahui mengenai  Islam,” katanya.

Pendapat Fadzli Cheah itu turut disokong pengerusi masjid berkenaan, Datuk Sheikh Mohamah Nor  Mansor yang mengatakan pembinaan masjid itu juga bertujuan mewujudkan persefahaman antara umat Islam dan bukan Islam. Jelasnya, persefahaman itu juga memberi gambaran mengenai keindahan Islam itu sendiri.

“Sebenarnya tidak ada sengketa dalam soal agama, malahan kita perlu saling memahami dan hormat menghormati antara satu sama lain. Tetapi yang membezakannya mungkin dari segi kebudayaan yang diamalkan masing-masing.
“Justeru kewujudan masjid berkenaan  dilihat mampu berperanan sebagai medium dakwah dalam usaha meneruskan penyebaran syiar Islam,” katanya. (SH)

Komen Weblohg Ibnu Hasyim: Tahniah wujudnya 'Masjid Cina' di Malaysia. Walaupun sebelum ini telah wujud 'Masjid Cina' di Rantau Panjang, Kelantan. Cuma bedanya yang menarik, rumah ibadat ini adalah satu-satunya masjid di Malaysia  dibina menggunakan 100 peratus bahan binaan dan aksesori dari China.

Hebat! Adakahh tindakan mengimport 100 peratus bahan binaan dan aksesori dari luar negara itu mengikut sunnah Nabi SAW?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails