Sunday, August 11, 2013

Bantu-khidmat Kesihatan Seksual Transgender - Bernama

NGO sedia perkhidmatan kesihatan seksual untuk transgender - Bernama

Mereka digelar pondan, mak nyah, tomboi dan pelbagai lagi yang semuanya membawa konotasi negatif dan maksud serupa iaitu golongan yang bersifat dan berkelakuan bertentangan dengan tabii. Mereka juga dipandang serong serta sering kali dipinggirkan masyarakat kerana selain gaya hidup yang bertentangan dengan agama dan budaya, kelompok ini sinonim dengan pelbagai gejala negatif.

Menyedari nasib yang menimpa kebanyakan golongan itu, badan bukan kerajaan Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang (FHDA) tampil menyediakan perkhidmatan terutama berhubung aspek kesihatan dan reproduktif.

 "FHDA mendekati golongan ini bukan untuk menggalakkan gejala transgender berleluasa. FHDA menumpukan kepada kesihatan seksual dan reproduktif.
"Mereka tergolong dalam kelompok yang memerlukan bimbingan sewajarnya kerana ada yang mengambil hormon dan memasukkan implan.
"Mereka perlukan preskripsi dan nasihat doktor melalui saluran yang betul... kalau hormon yang mereka ambil tu salah, ia boleh mendatangkan banyak kesan sampingan kepada mereka. Jadi, FHDA berperanan dalam memberi khidmat nasihat kepada golongan ini," kata pengerusinya Yeap Meng Chee.

Katanya kesukaran golongan itu mendapat rawatan dan khidmat nasihat di sini menyebabkan ramai ke luar negara untuk mendapatkan rawatan tertentu yang kadang kala menyebabkan mereka menanggung kesan buruk sehingga ada yang maut. Katanya sepanjang tahun lepas 449 transgender mendapatkan perkhidmatan FHDA.

"Pada mulanya agak sukar untuk mendekati golongan ini. Mereka ingat kita nak tangkap mereka.

Bagaimanapun kebijaksanaan sukarelawan kami berjaya mendapatkan kepercayaan mereka.

"Kini ada antara mereka yang membawa rakan-rakan mereka untuk menjalankan pemeriksaan di sini selain mendapat khidmat nasihat berhubung masalah kesihatan," katanya sambil menambah terdapat 12 orang doktor sukarela menawarkan perkhidmatan kepada FHDA.

Selain pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat, Yeap berkata FHDA turut merujuk golongan mak nyah kepada pakar psikiatri bagi membantu menyelesaikan masalah kecelaruan identiti dan antara mereka yang berjaya kembali menjadi lelaki normal. Katanya FHDA juga bekerjasama dengan Hospital Pulau Pinang dan beberapa NGO di negeri ini untuk membantu golongan berkenaan.

FHDA yang ditubuhkan pada 1962 menyediakan perkhidmatan seperti klinik perancang keluarga, kaunseling pengguguran, pemeriksaan payu dara, pap smear dan rawatan kesihatan wanita, vaksin HPV dan projek pencegahan HIV menerusi Global Fund. - Bernama,

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails