Monday, November 05, 2012

Hamas/Haniyeh (Islam) Lawan Abbas (Asobiah)

PEMIMPIN Hamas, Ismael Haniyeh (gambar) telah mengkritik Presiden Palestin, Mahmoud Abbas atas komen beliau yang dibuat kepada media Israel, mengatakan bahawa ia bercanggahan dengan  permintaan Palestin yang dipegang sekian lama.

Ismail Haniyeh berkata Jumaat lalu bahawa kenyataan Abbas yang menolak hak untuk pulang bagi pelarian Palestin, yang disiarkan di siaran media Israel, Channel 2, adalah "amat berbahaya".

Dalam komennya yang dibuat Khamis lalu, Abbas menyebut: "Palestin sekarang bagi saya adalah sempadan pada [19]67 dengan Baitul Muqaddis Timur sebagai ibu negara . Ia adalah Palestin bagi saya, ia adalah untuk kini dan selama-lamanya.”

“Saya seorang pelarian tetapi tinggal di Ramallah. Saya percaya bahawa Tebing Barat dan Gaza adalah Palestin. Selebihnya adalah Israel,” tambah beliau.

Presiden itu berkata bahawa walaupun dia mahu melihat tempat kelahiran beliau - Safed, yang kini merupakan sebuah bandar di utara Israel – namun dia tidak mahu menetap di sana.

"Saya mahu melihat Safed. Ia adalah hak saya untuk melihatnya tetapi bukan hak untuk saya menetap di sana," katanya.

Kenyataan ini dibuat menjelang persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bakal menyaksikan Palestin cuba mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara. Komen itu kelihatan bertujuan memujuk Israel bahawa rakyat Palestin tidak menuntut tanah yang diambil Israel pada tahun 1948, dan tidak pula mahu memerintahnya secara demografi.

Rakyat Palestin berharap undi di PBB akan memaksa Israel untuk berundur dari sempadan sekarang ke sempadan sebelum perang 1967 atau menghadapi tindakan undang-undang antarabangsa.

Linah Alsaafin, seorang aktivis di Ramallah, memberitahu Al Jazeera bahawa kenyataan Abbas "membuktikan bahawa dia tidak memahami rakyat Palestin".

"Memandangkan jangka presidennya telah tamat sejak 2009, dia tidak lagi mempunyai legitimasi untuk bertindak atas nama rakyat Palestin dan mengeluarkan kenyataan yang sedemikian aneh."

"Abbas telah berjaya menyatukan rakyat Palestin dalam membantah kata-kata beliau, mereka bersatu dalam rasa meluat dan protes," sambung Alsaafin.

Hamas, bersama-sama rakyat Palestin yang lain, berkata kenyataan Abbas bermaksud jutaan pelarian dalam peperangan dengan Israel dan keturunan mereka tidak akan kembali ke tempat asal mereka.

"Ia adalah mustahil bagi mana-mana individu, tanpa mengira siapakah dia, sama ada orang biasa, presiden, kerajaan, atau pihak berkuasa, untuk berputus asa dengan Palestin atau untuk melepaskan hak kembali ke rumah setelah dipaksa keluar, "ujar Haniyeh.

Warga Palestin yang bercakap kepada AP Television Jumaat lalu juga bersetuju bahawa tiada pelarian yang akan berputus asa dengan tanah air mereka. (Aljazeera)

"Sesiapa yang telah dipaksa keluar daripada negaranya pada tahun [19]48 tidak akan berputus asa dengan negaranya," ujar Hisham Farraj, yang tinggal di kem pelarian Al-Jalazon. (Hrkh)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Makin jelas HAMAS adalah gerakan Islam (kalau di Malaysia, PAS) tidak se aliran perjuangan asobiah (kalau di Malaysia, UMNO) di Palestin. Hanya boleh mimpi tidur sebantal, tetapi realitinya tidak.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails