Saturday, December 31, 2011

Felda Ini 4 Tahun Bergelap, Apa BN Buat?

Masjid Kampung Sungai Lui, Jempol, Negeri Sembilan

JEMPOL: myMetro melaporkan.. Bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba. Begitulah situasi yang dapat digambarkan penduduk di tanah rancangan Felda Lui Selatan, dekat sini, yang masih tidak mendapat kemudahan lampu jalan walaupun sudah menunggu lebih empat tahun lalu.

Apa yang lebih mengecewakan impian untuk mendapatkan kemudahan itu bagai tidak diendahkan apabila tiada sebarang jawapan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan walaupun penduduk mendakwa sudah mengemukakan permohonan dan permasalahan dihadapi sejak empat tahun lalu.

Penduduk, Abdul Kadir Abdul Rashid, 58, melahirkan rasa kecewa apabila impian melihat laluan masuk ke Felda Lui Selatan diterangi lampu tidak kesampaian apabila tiada tindak balas positif daripada PBT.

“Sejak saya masuk Felda kira-kira 29 tahun lalu, laluan utama dari jalan besar ke ke Felda Lui Selatan memang tiada lampu jalan.

“Berikutan itu, kami mengemukakan permohonan kepada pihak berkenaan berikutan laluan berkenaan kerap berlaku kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal kerana keadaannya agak gelap.

“Kami khuatir kadar kemalangan di laluan berkenaan akan terus meningkat jika kawasan itu terus berkeadaan gelap,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosli Jamal, 50, mendakwa masalah lampu jalan itu perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa kerana selain isu kemalangan jalan raya, pengguna juga terdedah kepada elemen jenayah seperti rompakan.

Menurutnya, selain itu ketiadaan lampu jalan menyukarkan orang luar untuk datang di perkampungan itu terutama pada waktu malam, sekali gus boleh menjejaskan imej tanah rancangan terbabit.

“Apa yang kami minta adalah kemudahan yang sangat penting bukan saja untuk kami, malah untuk kepentingan pengguna lain,” katanya.

Zaleha Jantan, 50, pula berharap pihak berkenaan dapat memberikan pertimbangan dengan meluluskan segera pemasangan lampu jalan di kawasan itu.

“Kami tidak meminta lampu cantik, cukup sekadar jalan ini terang. Saya sendiri risau apabila melalui kawasan ini pada waktu malam kerana ia sunyi dan gelap, sekali gus memungkinkan terdedah kepada kejadian jenayah,” katanya.

Mengulas mengenai masalah penduduk terbabit, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad berharap supaya pihak terbabit dapat mempercepatkan pemasangan lampu jalan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memanjangkan permohonan dan aduan penduduk di tanah rancangan yang memerlukan kemudahan lampu jalan.

“Saya juga sudah mengemukakan permohonan, tetapi setakat ini tiada lagi perkembangan atau kerja pemasangan lampu itu di laluan berkenaan.

“Selain Lui Selatan, saya berharap juga berharap mereka dapat memasang lampu jalan di beberapa kawasan gelap antara Lui Barat ke Sungai Lui,” katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Negeri Sembilan di bawah kerajaan Barisan Nasional, selama ini apa BN buat? Tidak prihatin kepada penderitaan dan kesusahan rakyat? Bandingkan dengan pemimpin-pemimpinnya yang hidup bermewh-mewah. Lihat isteri PM, tidak pedulikah kepada orang asal senegerinya? (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails