Tuesday, August 09, 2011

Sabar & Iktibar Dari Tanah Runtuh -Nik Aziz


KL, 9 Ogos 11: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melalui Facebook berharap semoga keluarga tujuh mangsa tragedi tanah runtuh yang di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang dapat bersabar di atas bencana yang menimpa.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada musibah itu.

“Saya berkongsi kesedihan dengan keluarga tujuh mangsa tragedi tanah runtuh yang di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang,” kata beliau.

“Sekali lagi saya mengucapkan takziah.. kepada mangsa yang beragama Islam, semoga Allah SWT merahmati rohnya dan ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang soleh,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian yang berlaku jam 5.45 petang kelmarin, berlaku banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang sehingga menimbus tiga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50; Jaafar, 49; Mohd Ikbal Jaafar, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51; dan Yusnizan Yusof, 22, manakala yang parah pula ialah Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15 tahun.

Semalam, PAS Pahang merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan dalam masa terdekat akan ke sana menyampaikan sumbangan.

“Serentak dengan itu juga kita meminta kerajaan negeri segera memantau penerokaan tanah di kawasan tanah tinggi itu kerana biasanya banjir lumpur dan hakisan tanah berlaku akibat operasi penebangan balak yang tidak terkawal,” kata pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails